
Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot akan memperoleh penjelasan sebenar punca pekerja Bangladesh belum bertolak walaupun permit kerja sudah dikeluarkan kerajaan Malaysia bulan lalu, lapor Sin Chew Daily semalam.
Para pekerja itu bertujuan membantu industri pembuatan perabot tempatan, yang mengalami kerugian terbesar kerana pembekuan pengambilan pekerja asing oleh kerajaan awal tahun ini.
Akhbar harian berbahasa Cina memetik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mah Siew Keong sebagai berkata Riot akan ke Dhaka untuk melihat sendiri keadaan di sana memandangkan kerajaan memberi kelulusan 4 hingga 5 bulan lalu bagi pengeluar perabot membawa masuk pekerja-pekerja ini.
“Walaupun selepas setelah membayar levi yang perlu, pekerja menangguhkan perjalanan mereka ke Malaysia,” Mah berkata, mengikut Sin Chew.
Tambahnya, akibatnya pengeluar perabot terpaksa menolak pesanan baru daripada pelanggan dari dalam dan luar negara, dengan sebahagian daripada mereka terpaksa menutup perniagaan mereka buat sementara waktu.
Pada 2 November lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Dewan Rakyat ketidakupayaan mengupah tenaga kerja yang mencukupi menyaksikan rekod industri perabot tempatan kerugian sehingga RM6.7 bilion ini.
Banyak syarikat perabot, jelas beliau, tidak dapat menyiapkan produk mereka bagi pasaran antarabangsa pada masa ditetapkan.
“Para pengeksport perabot menandatangani perjanjian dengan pembeli luar tetapi mereka tidak dapat memenuhi tanggungjawab mereka kerana tenaga kerja tidak mencukupi.
“Saya tahu industri perabot sahaja memerlukan lebih daripada 8,000 pekerja Bangladesh dan mereka sedang menunggu pembekuan pengambilan ditarik balik kerana masalah pengeluaran,” Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata dalam menggulung perbahasan Bajet 2017 bagi kementerian beliau.
PAUTAN: