Menteri nafi caj wad kelas 1,2 di hospital kerajaan naik 50%

Menteri nafi caj wad kelas 1,2 di hospital kerajaan naik 50%

Dr Subramanian mengatakan hanya 1.6% sahaja jumlah pesakit dijangka terlibat dengan kenaikan caj tersebut manakala 98.4% lagi akan dibiayai melalui subsidi penuh.

subramaniam
KUALA LUMPUR:
Caj baharu perkhidmatan wad pesakit kelas 1 dan 2 di hospital kerajaan akan dinaikkan berkuat kuasa 1 Januari 2017, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Subramaniam.

Bagaimanapun, katanya kadar kenaikan caj tersebut masih belum diputuskan.

Beliau berkata setakat ini hanya 1.6% sahaja jumlah pesakit dijangka terlibat dengan kenaikan caj tersebut manakala 98.4% lagi akan dibiayai melalui subsidi penuh.

“Jumlah pesakit dalam, pada setiap tahun, adalah 2 juta dan daripada jumlah itu, 32,000 orang adalah pesakit kelas 1 dan 2.

“Mereka di kelas 1 dan 2 sememangnya membayar caj perkhidmatan. Walaupun ada kenaikan, jumlah subsidi yang diberi masih lagi besar,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Dr Subramaniam berkata tumpuan utama Kementerian Kesihatan (KKM) adalah terhadap kumpulan berpendapatan rendah dan memastikan mereka tidak dikenakan bayaran.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar tempatan hari ini yang mendedahkan caj perkhidmatan wad bagi pesakit di kelas 1 dan 2 akan dinaikkan 50%.

Dalam pada itu, mengulas maklumat terkini berkenaan siasatan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Dr Subramaniam berkata KKM akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat konsesi yang dipercayai cuai dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Menurutnya KKM mengenakan penalti sebanyak RM55 juta terhadap 5 syarikat konsesi dari April 2015 hingga Ogos 2016.

“Kita tidak kenakan denda sebaliknya kementerian akan mengurangkan bayaran kontrak kepada syarikat konsesi yang gagal memenuhi terma perkhidmatan mengikut perjanjian kontrak.

“Selain itu, laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dibuat jika wujud unsur penipuan atau jenayah di kalangan syarikat konsesi,” katanya.

Dr Subramaniam berkata KKM turut menempatkan pegawai pemantau di 148 hospital kerajaan di seluruh negara bagi memastikan kerja-kerja perkhidmatan dan penyelenggaraan dijalankan mengikut piawaian.

“Langkah ini bertujuan untuk menghantar mesej kepada rakyat yang KKM serius dalam usaha menangani masalah ini (kebakaran di HSA) agar tidak berulang lagi.

“Kita mahu rakyat Malaysia mempunyai keyakinan yang besar terhadap perkhidmatan hospital-hospital kerajaan,” katanya.

Caj rawatan hospital kerajaan kekal RM1, RM5

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.