
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman berkata, selepas gagal memujuk pesakit mental yang mengamuk dan bertindak agresif sehingga menyebabkan Sarjan Mejar Yusuf Ahmad, 57, cedera parah semalam, polis kembali ke rumah tersebut awal pagi ini untuk menahannya.
Katanya, usaha memujuk suspek berusia 43 tahun yang masih bertindak agresif untuk menyerah diri gagal dan memaksa polis masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang dengan membawa bersama senjata renjat serta alat pelindung.
“Ketika tiba di ruang makan, suspek meluru ke arah pasukan polis dengan membawa sabit dan memaksa polis menggunakan ‘taser gun’ namun tidak mendatangkan kesan.
“Selepas itu, dia sekali lagi meluru ke arah polis dan 3 tembakan dilepaskan menyebabkan suspek rebah di atas lantai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kulai akibat kecederaan di dada.
Rahmat berkata, dalam kejadian 7 malam semalam, Yusuf bersama 5 anggotanya serta 2 kakitangan Klinik Kesihatan Bukit Besar berada di rumah keluarga suspek untuk memujuk dan menenangkannya.
“Suspek mengamuk dan bertindak agresif kerana dipercayai tidak memakan ubat penenang mengikut masa ditetapkan sehingga memaksa anggota keluarganya membuat aduan kepada polis,” katanya.
Beliau berkata, serangan itu menyebabkan Yusuf cedera parah di lengan, tangan dan rusuk belakang kiri serta terpaksa dikejarkan ke Hospital Kulai sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut.