
Penduduk dan wakil pekedai yang ditemui FMT berkata sampah yang dibuang sesuka hati menjadi santapan tikus membiak, di samping bau busuk yang menusuk rongga.
Presiden Persatuan-persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Datuk Moehamad Izat Emir berkata tikus membiak dengan banyak di kawasan perumahan yang jaraknya tidak sampai 30 meter dari tapak pasar.
“Apabila tikus-tikus itu membiak mereka akan memanjat ke siling-siling kedai dan makan wayar-wayar CCTV, telefon dan sebagainya,” katanya kepada FMT.
“Pasar malam ini mencemarkan semua perparitan, barangan dibuang tidak terkawal. Barang makanan lebihan yang tidak habis dijual akan dicampak di kawasan berkenaan.”
FMT dimaklumkan pasar minggu dilakukan pada hari ahad pagi yang berakhir pada jam 1 tengah hari, manakala pasar malam pula dijadualkan beroperasi pada hari Isnin bermula jam 4 petang hingga jam 11 malam.
FMT diberitahu pasar Kampung Lindungan wujud sejak 20 tahun lalu.
“Saya telah pergi ke majlis perbandaran berkali-kali semenjak lantik datuk bandar baharu, baru dapat 1 sahaja “appointment”.
“Takkan benda macam ini nak kacau menteri besar, dia ada isu yang lebih hebat lagi untuk diselesaikan seperti masalah air dan macam-macam lagi. Jadi, saya rasa datuk bandar yang kena ambil berat,” katanya.
Bagi mengesahkan dakwaan Izat, FMT mendekati penduduk pangsapuri Kampung Lindungan di PJS 6/4. Rata-ratanya tidak berpuas hati dengan pasar punca pencemaran itu.
“Saya memang tidak berpuas hati dengan kebersihan pasar. Selepas pasar selesai selalu kotor. Mereka buang sisa-sisa di longkang hingga menyebabkan bau busuk,” kata Puven a/l Krishnan, 28.
Pengurus gudang cat itu pernah membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) minggu lalu namun masih belum terima sebarang jawapan.
“Mereka (peniaga pasar) menggunakan mesin generator untuk jana elektik, jadi asap dari mesin itu telah menyebabkan asap memasuk kedai-kedai di sini,” kata pekedai barangan elektronik, Ling Koh Hing, 61.
Sementara itu, pengusaha bengkel motosikal Rauzan Surip, 58 berkata pasar itu sedikit sebanyak menjejaskan perniagaannya tetapi kerana pelanggan tidak dapat memasuki bengkelnya.
“Saya sudah berniaga sejak 1995. Cumanya ada sikit gangguan, macam kalau petang (pasar malam) bila peniaga dah masuk ke tapak, mungkin pelanggan tidak mahu datang sebab kawasan sempit.
“Tetapi walaupun tidak dapat pelanggan dari pasar malam, hari lain mereka akan datang selepas pasar malam tiada,” katanya.
Ada penduduk mahu tapak pasar dipindahkan ke kawasan lain.
“Kita tidak cakap tidak boleh berniaga, tetapi kena cari kawasan untuk mereka berniaga. Kalau boleh dia buat di sana (alihkan lokasi), kerana orang nak masuk kedai pun tidak boleh,” kata Koh Hing.
“Bila ada pasar susah untuk “parking”,” kata Puven pula.
Semua masalah itu diakui oleh peniaga pasar malam yang ditemui FMT. Muhammad Fitri Ghazali, 26 tidak menafikan pasar mengundang pencemaran bau dan menyebabkan masalah kepada penduduk sekitar.
“Saya tidak setuju untuk pindah ke lokasi pasar lain kerana sudah lama pasar ini wujud, dari saya kecil sampai sekarang ini umur 26 tahun.
“Pasar ini sudah lama, tidak perlulah hendak pindah, kalau pindah, susahlah penduduk di sini hendak beli barang,” katanya yang turut menetap di pangsapuri bersebelahan.
Fitri berkata susun atur peniaga-peniaga pasar malam di kawan itu kini dalam keadaan bersepah dan berharap agar ia diubah dalam kadar segera.
FMT berkesempatan bertemu wakil Ahli Majlis Perwakilan Penduduk MBPJ Zon 24, Mat Sabary Yusof bagi mendapatkan penjelasan.
“Isu pasar malam ini, dari segi kebersihan, kesesakan lalu lintas memang tidak dinafikan, memang ada,” katanya. “Tidak dinafikan sudah bertahun-tahun lamanya kami menghadapi masalah dari segi sampah.”
“Tetapi baru-baru ini kami telah bermesyuarat dengan MBPJ. Buat masa ini, mereka akan buat satu bancian semula, bagi mengatasi masalah lalu lintas, masalah kesesakan dan macam-macam lagi.”
Beliau mengharapkan penduduk agar bersabah dan berjanji masalah sampah dan kesesakan akan diatasi dengan kadar segera.
Mengulas cadangan penduduk yang mahu tapak pasar dipindahkan, Mat Sabary berkata memang sudah ada tapak lain dicadangkan tetapi tapak berkenaan tidak sesuai dijadikan tapak berniaga.
“Memang ada satu tempat yang disediakan oleh MBPJ, tempatnya di sini (di bawah pencawang elektrik), tetapi masalahnya, siapa yang hendak bayar kos penebat, kosnya hampir satu juta lebih.
“MBPJ tidak mahu tanggung, TNB tidak mahu tanggung kosnya. Bukan tidak mahu pindah di situ, tetapi apabila hujan atau petir, ia merbahaya kepada peniaga.
“Kalau hendak tutup (tapak pasar) tidak bolehlah, sebab peniaga banyak orang Melayu, tidak adil. Cumanya kita minta ia dibaik pulih,” katanya.