
Kejadian bermula apabila Dr Yaakob Sapari (PRK-Kota Anggerik) dalam soalannya kepada kerajaan menuduh Umno pelopor politik sempit.
Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) kemudian bangun, dan berkata DAP yang mengakibatkan rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Exco Datuk Teng Chang Khim (DAP-Sungai Pinang) bingkas menjawab Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dengan melontar perkataan “bodoh”.
Suasana dengan pantas bertukar tegang apabila Datuk Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong), Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (BN-Batang Kali), Datuk Amiruddin Setro (BN-Jeram) dan Shahrom Mohd Sharif (BN-Dengkil) turut bangun dan bertikam lidah dengan veteran DAP itu.
Perkataan “bodoh” saling bertukar tangan sepanjang percakaran itu.
Speaker Hannah Yeoh (DAP-Subang Jaya) meminta kedua pihak supaya mengawal diri di dan memulihkan keadaan di dalam Dewan. Hannah mendesak Sulaiman dan Chang Khim menarik balik kenyataan masing-masing.
“Diam semua sabar. Saya minta Permatang (Sulaiman) tolong tarik balik bahawa DAP telah mengakibatkan rusuhan kaum pada 13 Mei. Yang itu saya rasa tidak tepat.
“Dan kemudian Sungai Pinang (Teng) tarik balik perkataan bodoh,” katanya.
Kedua belah pihak akur dengan permintaan Speaker dan DNS meneruskan persidangan hari ini.