
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata ia merupakan isu antarabangsa dan tidak hanya terjadi di Malaysia.
Menurut beliau, pihaknya giat membenteras kegiatan yang turut dikenali sebagai “bookie” itu dengan kerjasama pihak berkuasa malah membentuk satu jawatankuasa integriti sejak 5 tahun lalu di seluruh negeri.
“Saya tidak menafikan ia berlaku di sini tetapi isu ‘bookie’ ini bukan hanya di Malaysia. Ia isu global malah seluruh dunia melakukan siasatan berhubungnya dan bila sampai masanya nanti akan diserahkan kepada pihak berkuasa, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hamidin berkata demikian sususlan kenyataan pakar industri sukan yang juga bekas ketua keselamatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Chris Eaton yang mengatakan Malaysia kini mengambil alih Singapura sebagai pusat mengatur pertandingan sukan di Asia Tenggara selepas beberapa tindakan keras republik itu bagi membanterasnya, di sebuah persidangan antarabangsa semalam.
Eaton berkata Singapura berjaya menghapuskan beberapa sindiket mengatur perlawanan, tetapi masih ada yang mengadakan “kerjasama rapat” dengan sindiket di Malaysia.
“Itu hanya analisis beliau (Eaton) kerana bagi kita isu ini tidak ada kesudahan di seluruh dunia, tetapi FAM akan terus memantau dan bekerjasama dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA),Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) menerusi program Early Warning System (EWS) bermula tahun lepas lagi.
“Kita aturkan pelbagai program, dalam membendung, megurangkan serta menghapus gejala ini dan pelbagai kaedah dan pendekatan di mana sesetengahnya tidak boleh dihebahkan kepada umum kerana sulit,” katanya.
Beliau turut memaklumkan terdapatnya penurunan dalam aktiviti ini walaupun tidak mempunyai statistik lengkap.
“Isu ini tidak menentu, sekejap datang, sekejap pergi. Sukar untuk kita membendungnya memandangkan kita tidak pasti sesetengah kes ini disebabkan ‘bookie’ atau sebaliknya,” jelas Hamidin.
Kenyataan Hamidin disokong lagenda bola sepak kebangsaan, Datuk Santokh Singh dengan membidas Eaton agar tidak mencari salah pihak lain kerana FIFA sendiri terlibat dengan rasuah.
“FIFA sendiri ada rasuah, jadi kenapa beliau (Eaton) mahu cakap pasal rasuah di Malaysia sahaja? Jangan cakap pasal orang lain,” katanya ketika dihubungi.
Sukan bola sepak Malaysia mula ditubuhkan dan diiktiraf FIFA pada 1963, malah pernah disegani lawan pada 1950 hingga 1980 dimana semua tahu pemain legenda Mokhtar Dahari pernah mengegarkan negara.
Ia mula merudum pada awal 1990-an dimana berlakunya isu rasuah terbesar bola sepak negara yang memaksa FAM mengantung 78 pemain yang didakwa mengatur pelawanan pada 1994 dan dibebaskan pada Mei 2016.
Pada 2010, isu bola sepak negara kembali hangat apabila kerajaan bercadang memberi lesen judi kepada Kumpulan Berjaya sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia di Afrika Selatan.
Timbalan menteri kewangan pada masa itu, Datuk Awang Adek Hussein berkata tindakan itu bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram. Bagaimanapun, lesen berkenaan tidak dikeluarkan setelah mendapat bantah banyak pihak.
Isu itu tidak terhenti disitu sahaja, apabila judi bola sepak terus berkembang di mana tangkapan demi tangkapan dilakukan pihak polis.
Menurut PDRM, semasa berlangsungnya Piala Dunia 2010, sebanyak RM437 juta dikesan membabitkan wang pertaruhan, malah ia berlarutan kepada Piala Dunia 2014 Brasil.
Terbaharu, polis menahan 6 lelaki yang dikaitkan dengan aktiviti judi bola sepak Euro 2016 dalam serbuan Op Soga 6 di 5 negeri pada Jun lalu.
Kegagalan pihak berkuasa bertindak
Menurut Pengarah Kanan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar berkata, kegagalan pihak berkuasa membanterasnya antara punca ia terus berleluasa.
“Mereka yang merancang aktiviti judi haram ini akan mencari tempat yang ada kelemahan seperti Malaysia dan bukannya disebabkan undang-unang. Undang-undang yang ada sekarang sudah ketat, tetapi penguatkuasaannya masih lemah. Ini menyebabkan penganjur merasakan ia mudah dilakukan di Malaysia kerana ada market.
“Saya tidak kata judi bola semakin menular tetapi mereka cuba menggunakan strategi berbeza dan sukar dikesan, di atas kertas nampak berkurangan tapi mereka guna cara lain.
“Sebagai contoh, dua tiga tahun lalu, fokus mereka pada Liga Super dan sekarang ini merebak kepada liga perdana dan tidak mustahil selepas ini liga FAM juga turut diresapi judi, kerana lagi kecil kejohanan itu, semakin ia sukar dikesan,” katanya kepada FMT.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan pihak terlibat membuat kajian menyeluruh punca penularan judi bola dan bukannya meletakkan kesalahan kepada pemain kerana faktor gaji bukan faktor utama ia berlaku.
“Kita tengok Thailand, gaji pemain sikit tetapi berkualiti. Jadi isu lain perlu diteliti, sebagai contoh, penguatkuasaan, pendidikan, sikap serta disiplin. Jika ia tidak dibendung, kualiti bola sepak negara tidak akan berubah dan tidak maju,” katanya.