
“Jika pihak berkuasa benar-benar percaya yang undang-undang sepatutnya digunakan ke atas semua dengan cara yang adil, maka, ketua mereka, Datuk Jamal Yunos, perlu disiasat di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012,” kata jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan hari ini.
Seksyen 9(1) APA menyatakan penganjur hendaklah memberi notis mengadakan perhimpunan kepada polis dalam masa 10 hari, manakala Seksyen 9(5) akta yang sama membawa hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.
Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan Ketua Angkatan Muda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad pernah dihadapkan ke mahkamah sebelum ini kerana gagal memberi notis kepada polis.
Pada 3 November dan 5 November baru-baru ini aktivis Baju Merah menunjuk perasaan di luar pejabat Malaysiakini selepas portal itu didedahkan menerima sumbangan daripada Open Society Foundations (OSF) yang dikaitkan kepada hartawan George Soros.
Baju Merah menuntut media tersebut menutup operasi, dan dilaporkan mengancam untuk “meruntuhkan” bangunan Malaysiakini.
“Kami menggesa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya jangan sekali lagi menolak ini sebagai ‘perang mulut’ sahaja dan menyiasat Jamal kerana ia merupakan suatu ugutan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.
“Pada masa ini, pihak berkuasa seolah-oleh memegang tampuk undang-undang hanya untuk kesenangan mereka (kerajaan), menolak pandangan yang berbeza dan menghukum tindakan rakyat yang tidak bersetuju dengan mereka (kerajaan), kononnya atas nama melindungi demokrasi berparlimen.”