Jentera cerucuk tumbang: DOSH arah pemaju henti kerja segera

Jentera cerucuk tumbang: DOSH arah pemaju henti kerja segera

Mohtar berkata, arahan itu dikeluarkan hari ini bagi membolehkan DOSH menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.

dosh
KUALA LUMPUR: Pemaju projek pembinaan di Bandar Baru Bukit Raja, Klang diarah menghentikan serta-merta kerja mereka, susulan insiden jentera cerucuk besi menghempap kereta menyebabkan sepasang suami isteri terbunuh, tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH), Datuk Mohtar Musri berkata, arahan itu dikeluarkan hari ini bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.

“Pegawai DOSH berada di tempat kejadian. Kita sudah beri arahan henti kerja dan tindakan akan diambil bergantung pada hasil siasatan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Akta Kilang dan Jentera 1967.

Dalam kejadian 12.35 tengah hari itu, lelaki tempatan, Abd Rahim Abd Rahman bersama isterinya, Nurhayati Rosli yang merupakan warga Indonesia, maut apabila kereta yang mereka naiki dihempap jentera cerucuk besi yang tumbang ketika melalui kawasan tapak pembinaan di Bandar Baru Bukit Raja.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Menantu lelaki pasangan itu, Adik Cendera Shahril, 31, berkata ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke masjid berhampiran Bandar Bukit Raja bagi menunaikan solat Jumaat, selepas menghantar barangan keperluan ke kedai nasi campur mereka di Pasaraya Tesco Setia Alam.

Jenazah Nurhayati akan dibawa ke Medan, Indonesia untuk dikebumikan, sementara Abd Rahim akan dikebumikan di Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil membantu siasatan kerana tiada kamera litar tertutup di tempat kejadian.

2 maut dihempap jentera cerucuk di Klang

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.