
“Saya percaya beliau kini menghadapi masalah, namun persoalan penting adalah kita tidak tahu sama ada Majlis Tertinggi Umno akan ambil tindakan terhadapnya atau tidak,” kata Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin merujuk tindakan Husni mempersoalkan isu 1MDB di Dewan Rakyat, minggu lalu.
Muhyiddin yang dipecat daripada Umno pada Jun lalu berkata, PPBM sedang memerhati situasi Husni.
“Kalau dia tidak selesa dan pilih hendak bersama kita, kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan,” kata bekas timbalan perdana menteri itu pada sidang media mengumumkan barisan kepimpinan PPBM, hari ini.
Husni yang digugurkan daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas rombakan Kabinet pada Jun lalu, mempersoalkan motif kerajaan menubuhkan 1MDB yang didakwanya berlaku banyak salah laku tanpa sebarang tindakan diambil, pada sidang Dewan Rakyat, minggu lalu.
Ahli Parlimen Tambun yang melepaskan semua jawatan dalam Umno dan Barisan Nasional itu, juga mahu tahu apa yang berlaku kepada unit pelaburan bernilai AS$1 bilion yang sepatutnya matang, tahun lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, Husni bersama Muhyiddin dan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan disiasat polis atas dakwaan membocorkan rahsia kerajaan, ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat, minggu lalu.
Siasatan itu dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana mendedahkan rahsia kerajaan, termasuk berkaitan 1MDB susulan laporan polis dibuat Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Kelab N87 Wilayah Persekutuan.
Polis yang sepatutnya mengambil keterangan Husni kelmarin, bagaimanapun menangguhkannya ke minggu depan tanpa memberikan tarikh tertentu.
Semalam, Muhyiddin mengesahkan beliau turut dipanggil polis untuk merakamkan keterangan kerana didakwa mendedahkan rahsia kerajaan mengenai 1MDB.