Stesen NGV ditutup, pemandu teksi rugi lebih 40%

Stesen NGV ditutup, pemandu teksi rugi lebih 40%

Persatuan teksi berkata anggaran kos harian pemandu teksi tanpa NGV melebihi RM100 menyebabkan tekanan kepada mereka, ditambah lagi dengan kewujudan Uber dan GrabCar.

Shamsubahrin
PETALING JAYA: Keputusan Petronas Dagangan Berhad (PDB) menutup sementara jualan gas asli (NGV) di 67 stesennya di seluruh negara menambahkan lagi kesengsaraan pengusaha teksi selepas industri itu terjejas teruk akibat kemasukan Uber dan GrabCar.

Penasihat Big Blue Capital Sdn Bhd Datuk Shamsubahrin Ismail berkata kesan penutupan sementara stesen NGV menyebabkan pemadu teksi mengalami kerugian pendapatan melebihi 40%.

“Kerajaan hendak baik pulih tidak mengapa tetapi kalau ditutup serentak ia mengganggu industri teksi kerana kami bergantung kepada NGV.

“Banyak masalah timbul kerana kos perbelanjaan tanpa NGV terlalu tinggi apabila menggunakan minyak ditambah pula harga minyak naik hari ini,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata anggaran kos perbelanjaan harian pemandu teksi tanpa NGV melebihi RM100 hingga menyebabkan pemandu teksi tertekan.

“Sebagai contoh kos untuk menghantar penumpang dari Kuala Lumpur ke Klia atau Klia2 bertambah kerana kalau guna NGV kos RM12 tetapi bila guna minyak kosnya RM20,” katanya.

Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) Kamarudin Hussain berkata Petronas sepatutnya mengambil kira implikasi kepada pemandu teksi susulan penutupan stesen pengisian.

“Kami kecewa Petronas menutup serentak stesen mereka. Tindakan itu menambahkan lagi keperitan pemandu teksi pada masa ini yang terpaksa berdepan persaingan dengan Uber dan GrabCar.

“Proses penutupan seharusnya dilakukan secara berperingkat. Kami merayu kepada kerajaan supaya bersimpati dengan nasib kami,” katanya kepada FMT.

Ahad lalu, PDB dalam satu kenyataan mengumumkan penutupan sementara stesen yang mempunyai perkhidmatan NGV di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor berikutan proses penambahbaikan prosedur keselamatan sedang dijalankan.

 

Operasi NGV di 67 stesen Petronas ditutup sementara

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.