Isu air: MB N9 kena turun padang, kata exco Selangor

Isu air: MB N9 kena turun padang, kata exco Selangor

Elizabeth Wong berkata Datuk Seri Mohamad Hasan perlu ke kawasan pencemaran untuk melihat dan menghidu sendiri pencemaran di situ.

eli-wong
SHAH ALAM: Exco Selangor Elizabeth Wong mencadangkan Datuk Seri Mohamad Hasan “turun padang” dan melihat sendiri kawasan di Negeri Sembilan yang mengakibatkan pencemaran air di Selangor dan sekali gus menyebabkan gangguan bekalan air kepada penduduk.

Wong berkata demikian susulan menteri besar Negeri Sembilan itu sebelum ini menafikan yang kerajaan negeri itu tidak bekerjasama dengan Selangor dalam menyelesaikan masalah pencemaran air.

“Kalau Datuk (Hasan) tidak percaya, turun padang ke tapak pencemaran. Sekarang masih ada (pencemaran air).

“Kalau boleh beliau ke sana, lihat dan bau sendiri. Sudah lebih seminggu,” katanya kepada wartawan di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Hasan sebelum ini mempertahankan pentadbirannya ketika ia dikritik Selangor kerana gagal memainkan peranan dalam mengatasi krisis pencemaran air yang melanda kini.

“Dakwaan kerajaan Negeri Sembilan tidak bekerjasama atau tak peduli, semuanya tidak betul.

“Kami tidak meletakkan perbezaan politik mengatasi kepentingan rakyat,” katanya seperti dilaporkan The Malay Mail Online.

Elizabeth juga sebelum ini mendakwa Negeri Sembilan kurang memberi kerjasama untuk membersihkan tapak pencemaran yang menyebabkan gangguan bekalan air di Selangor.

Wong berkata Selangor membina benteng di tempat pertemuan Sungai Buah dan Sungai Semenyih serta merawat air di situ dengan bahan karbon diaktifkan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.