Suspek bunuh bakal abang ipar ditahan

Suspek bunuh bakal abang ipar ditahan

Suspek itu ditahan ketika berjalan di Jalan Jeram, Manir, selepas 4 hari menyembunyikan diri daripada pihak berkuasa.

polis-wan-hamzah
KUALA TERENGGANU: Selepas 4 hari menyembunyikan diri, suspek utama kes bunuh bakal abang ipar akhirnya diberkas polis tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan ketika berjalan di Jalan Jeram, Manir.

Katanya, suspek kelihatan agak lemah dan kelaparan, selepas 4 hari menyembunyikan diri daripada pihak berkuasa.

“Kita percaya suspek keluar untuk mencari makanan, selepas bersembunyi di 2 lokasi dipercayai di kawasan rumah kosong serta kawasan padang berhampiran kampung berkenaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi Ahad lalu, suspek dipercayai bertindak agresif dengan menikam Mohd Shukri Husin, 34, sebanyak 6 kali sehingga mati di tempat letak kereta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu (Maidam).

Insiden itu dikatakan bermula apabila mangsa yang merupakan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, hadir di tempat kejadian bersama keluarganya bagi menyemak status perkahwinan suspek yang bakal berkahwin dengan adik mangsa.

Setelah tembelang sebenar suspek pecah, pertengkaran dipercayai berlaku antara suspek dan mangsa sehingga membawa kepada pembunuhan tersebut.

Menurut Wan Abd Aziz, kira-kira 1.40 tengah hari semalam, seorang tukang rumah yang juga rakan mangsa tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bagi menyerahkan pisau digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, selepas kejadian itu, suspek berjumpa rakannya itu di Manir bagi menyerahkan pisau berkenaan dan meminta tukang rumah berkenaan menyimpannya.

“Suspek sempat memaklumkan kepada rakannya dia menikam orang dan memintanya menyimpan pisau sepanjang 35cm itu.

“Setelah membaca akhbar berhubung insiden itu, lelaki berkenaan berasa takut dan mengambil keputusan menyerahkannya kepada polis,” katanya.

Ahad lalu, rakan suspek yang bertindak sebagai pemandu serta bapa saudaranya ditahan kira-kira 4.30 petang dan 4.45 petang oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu dan Balai Polis Manir.

Mereka yang berusia 27 dan 55 tahun itu diberkas dalam 2 serbuan berasingan dan polis turut merampas kereta Honda Ferio yang digunakan, sebelum suspek melarikan diri dengan motosikalnya.

Menurut Wan Abd Aziz, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pautan:

Lelaki dibunuh selepas tahu bakal adik ipar sudah berkahwin

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.