
Pemangku Presiden MTUC, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) seharusnya menumpukan kepada penguatkuasaan bagi mencegah perkara ini.
“Kesatuan sekerja desak menteri dalam negeri melakukan sesuatu, jangan banyak sangat retorik nanti rakyat muntah,” katanya kepada FMT hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot yang berkata bagi setiap 10 pekerja asing di Malaysia, ada 7 orang yang tidak mempunyai dokumen sah di negara ini.
Beliau berkata pekerja asing tanpa izin dibawa masuk oleh beberapa agensi kerana wujudnya permintaan daripada majikan.
Abdullah menambah, negara kini berada dalam keadaan kritikal kerana lambakan pekerja asing terbabit.
“Takut nanti pekerja asing monopoli kita dalam sektor-sektor pekerjaan,” katanya.
Mengulas isu yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Datuk Samsuddin Bardan turut menyatakan kegusaran dan menggesa kerajaan melaksanakan undang-undang lebih ketat terhadap pekerja asing tidak sah serta mengambil tindakan segera dengan menghantar mereka pulang.
“Kerana pada masa ini mereka tak ada memberikan sebarang kebaikan ekonomi kepada negara. Mereka tidak bayar levi, cukai dan sebagainya.
“Dan lebih elok sebenarnya kita mengambil tindakan dan menghantar mereka pulang. Kita kena tingkatkan kawalan terhadap perairan dan sempadan supaya mereka tidak berada di Malaysia secara tak sah,” katanya.
Samsuddin pada masa yang sama menafikan pekerja asing tanpa izin dibawa masuk beberapa agensi kerana wujudnya permintaan daripada majikan.
“Saya tidak rasa faktor itu tepat, tidak memberikan imej yang baik kepada majikan. Saya tidak berasa demikian. Mereka sudah berada di Malaysia dan sesetengah majikan mengambil jalan pintas dengan mengambil dan memberikan pekerjaan kepada mereka walaupun tahu risikonya tinggi.
“Mereka yang ditawarkan bekerja itu sudah berada di Malaysia, tidak sah, tanpa dokumen dan itu sebenarnya apa yang berlaku, bukan dibawa masuk atas permintaan majikan,” katanya.
Pautan berita :