
Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, di Malaysia fatwa adalah satu keputusan yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri.
“Andai kata keputusan itu akan dikuatkuasakan, prosedur pertama adalah perlu dimaklumkan dan dipersetujui Jawatankuasa Majlis Agama Islam atau ahli Majlis Agama Islam Negeri.
“Kemudian, perlu diperkenankan Duli Yang Maha Mulia Tuanku selaku ketua agama negeri. Setelah itu digazetkan dan barulah fatwa boleh dikuatkuasakan,” katanya kepada FMT hari ini.
Sabtu lalu, cendekiawan pertubuhan Islam terbesar dunia, Nahdatul Ulama Zuhairi Misrawi berkata fatwa sekadar pandangan agamawan yang tidak semestinya dijadikan undang-undang untuk dipatuhi umat Islam.
Zuhairi berkata, agamawan sering mengeluarkan fatwa saling bertentangan berhubung sesuatu isu atau perkara.
Mengulas lanjut, Tamyes berkata di Malaysia dan Selangor sekiranya mufti terbabit mengeluarkan kata-kata, ia hanyalah merupakan pandangan atau pendapat.
“Kalau mufti mengeluarkan perkataan, ia bukanlah fatwa. Ini yang diputuskan dalam enakmen undang-undang agama Islam Selangor,” katanya.
Beliau menambah, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang dibincangkan di peringkat pusat juga sebenarnya masih belum menjadi fatwa.
Pautan :
Fatwa hanya pandangan bukan paksaan, kata cendekiawan Nahdatul Ulama