Malaysia berjaya kekang virus Zika, kata menteri

Malaysia berjaya kekang virus Zika, kata menteri

Kepelbagaian program pencegahan dilaksanakan pihak Kementerian Kesihatan didapati berkesan dan menunjukkan impak yang positif.

subramanian-zika
KUALA LUMPUR:
Pencegahan dan kawalan jangkitan virus Zika setakat ini menunjukkan keberkesanan dan kes penyakit itu masih bersifat sporadik dan tidak merebak dengan pantas seperti di negara lain.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata pelbagai program pencegahan yang dilaksanakan pihak kementerian secara bersepadu bersama kementerian lain serta agensi didapati berkesan dan menunjukkan impak yang positif.

“Kita berjaya mengekang kemasukan Zika dari rantau utama yang bermasalah iaitu Amerika Tengah dan Selatan. Namun, apabila Zika diimport ke negara jiran kita dan kemudiannya merebak dengan cepat, risiko kemasukan ke Malaysia amat tinggi kerana pergerakan penduduk merentasi sempadan amat tinggi.

Kita juga melakukan pemantauan di pintu masuk antarabangsa serta mengedarkan Nasihat Kesihatan (Health Advisory) kepada pelancong dan rakyat Malaysia sekiranya mempunyai gejala virus Zika,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Saringan suhu juga dilakukan bagi memantau kemasukan pelawat yang mempunyai gejala demam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) mengenai pelan tindakan kementerian dalam mengekang penularan virus Zika terutamanya membasmi kawasan pembiakan nyamuk Aedes di kawasan yang mencatat bacaan tertinggi bagi pembiakan nyamuk itu.

Dr Subramaniam berkata pemantauan, penyelarasan dan penentuan dasar tindakan pencegahan dan kawalan dilaksanakan di pelbagai peringkat termasuk kebangsaan, negeri dan daerah.

Beliau berkata dari 31 Ogos hingga 8 OktOBER tahun ini, hanya 7 kes jangkitan virus Zika disahkan di seluruh negara iaitu 2 di Sabah, 2 di Johor, dan masing-masing satu di Selangor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.

Katanya, prinsip dan strategi yang diguna pakai bagi menghadapi sesuatu ancaman penyakit yang baru termasuk Denggi, virus Zika dan Chikungunya terbahagi kepada 3 fasa iaitu pencegahan kemasukan, mengekang penularan yang meluas dan kawalan.

“Tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani denggi juga berkesan terhadap Zika. Dalam konteks ini, tumpuan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) adalah ke arah tanggungjawab dan penyertaan masyarakat dalam memastikan persekitaran yang bebas Aedes,” katanya.

Menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (DAP-Sibu) mengenai ketiadaan saringan suhu di Lapangan Terbang Sibu, Dr Subramaniam berkata pengawasan saringan suhu hanya dilakukan di pintu masuk antarabangsa sahaja memandangkan ia adalah laluan utama pelawat asing ke negara ini sebelum ke pintu masuk domestik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.