
Mesyuarat itu disokong anggota majlis seperti Mesir, Angola, Senegal dan Venezuela, yang turut menjadi pengerusi bersama dengan Malaysia, demikian menurut kenyataan Wisma Putra.
Malaysia mengulangi keperluan segera untuk Majlis Keselamatan menggunakan pelbagai cara yang ada dan langkah segera bagi menghentikan aktiviti penempatan Israel melanggar undang-undang antarabangsa serta menjejaskan penyelesaian 2 negara.
Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Datuk Ramlan Ibrahim berkata, aktiviti penempatan Israel dikutuk sejak beberapa dekad lalu, tanpa ada tindakan konkrit menghentikan mereka.
“Pada masa sama, penempatan itu terus berkembang, keganasan kian bertambah dan syarat untuk penyelesaian 2 negara semakin terhakis.
“Kemarahan dan kekecewaan atas sikap pilih kasih yang sekian lama ke atas Palestin berterusan bagi menyemarakkan radikalisasi di rantau itu dan melangkauinya,” katanya.
Dalam isu penempatan haram Israel itu, katanya, ia bukan masalah kekurangan insentif, tetapi tiadanya sekatan.
Ramlan berkata, bulan lalu sahaja, Israel menerima sesuatu yang belum pernah berlaku, apabila mendapat bantuan ketenteraan berjumlah AS$38 bilion selama 10 tahun.
“Saya tidak boleh bayangkan insentif lebih hebat untuk keselamatan Israel. Namun, beberapa minggu selepas menandatangani perjanjian bantuan ketenteraan terbesar itu, Israel dengan selamba mengumumkan ia akan membina lebih banyak penempatan baharu,” katanya.
Ramlan berkata, ia jelas menunjukkan keperluan menghentikan ganjaran ke atas perbuatan menyalahi undang-undang yang mengancam keamanan dan keselamatan di rantau itu serta melangkauinya.
Mesyuarat itu turut diberikan maklumat secara langsung daripada pakar dan wakil masyarakat, termasuk Hagai El-Ad dari B’Tselem, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Israel berpangkalan di Tel Aviv yang memperjuangkan hak kemanusiaan di Palestin yang diduduki.
Ia juga menunjukkan rakaman video menggambarkan keganasan peneroka terhadap orang awam Palestin, merobohkan rumah rakyat Palestin untuk memberi laluan kepada penempatan haram Israel serta dasar pengasingan di Hebron.
Menurut Wisma Putra, mesyuarat itu diterima baik 300 peserta terdiri daripada anggota PBB dan NGO.
Mesyuarat Formula Arria adalah pertemuan tidak formal dan secara peribadi, di mana anggota UNSC diberi kelonggaran daripada segi prosedur untuk bertukar-tukar pendapat secara berterus terang dan peribadi dengan pemberi taklimat bukan daripada PBB.
Ini adalah usaha ke-3 Malaysia mengenai Palestin sejak menjadi anggota tidak tetap UNSC pada Januari 2015 – yang pertama memfokuskan Gaza pada Julai 2015, dan ke-2 mengenai perlindungan orang awam Palestin pada Mei 2016.
Sebelum inisiatif Malaysia, lebih 18 tahun berlalu tanpa mesyuarat Formula Arria mengenai Palestin.
Tempoh Malaysia sebagai anggota tidak tetap UNSC akan berakhir pada hujung tahun ini.