Penduduk nafi Sungai Semantan punca bekalan air di Selangor tercemar

Penduduk nafi Sungai Semantan punca bekalan air di Selangor tercemar

Penduduk di sepanjang Sungai Semantan tidak pernah berhadapan masalah air kotor atau berbau, malah menggunakan bekalan air sungai itu tanpa sebarang masalah.

Free Malaysia Today
TEMERLOH: Penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Semantan di daerah ini hairan dengan dakwaan sesetengah pihak yang sungai itu adalah punca pencemaran bekalan air Loji Rawatan Air (LRA) Langat dan Cheras di Selangor.

Rata-rata menganggap dakwaan tersebut sebagai tidak berasas kerana mereka sehingga hari ini menggunakan bekalan air dari sungai itu tanpa sebarang masalah.

Seorang penduduk Kampung Mempateh Lanchang, Shafie Jali, 64, berkata walaupun ada kalanya air sungai itu keruh kerana hujan di kawasan hulu, tetapi ia bukan penyebab sungai itu kotor ataupun berbau.

“Kami yang duduk di tepi Sungai Semantan selama ini tidak pernah pula berhadapan masalah air sungai kotor atau berbau seperti yang didakwa, malah kami juga sentiasa gunakan bekalan air dari sungai ini walaupun air paip ada.

“Jadi kami musykil juga apabila ada pihak mendakwa bekalan air dari sungai ini tercemar,” katanya di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk di Kampung Kuala Kawang Mat Jali Simon 49, pula berkata beliau kerap mandi menggunakan bekalan air dari sungai berkenaan walaupun rumahnya sudah ada bekalan bersih.

“Saya lebih selesa mandi sungai ini dan tidak pernah pula saya berhadapan dengan air Sungai Semantan yang kotor, tercemar ataupun berbau,” katanya.

Seorang penternak ikan di Kuala Semantan Seman Zainal Abiddin, 57, berkata jika benar air sungai Semantan itu kotor, tercemar dan berbau busuk, sudah tentu berpuluh ribu ekor ikan patin, tilapia dan ikan baung yang diternak penduduk akan mati.

“Setakat ini tidak ada kedengaran pula laporan sedemikian,” katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd mendakwa pencemaran bau di Loji Rawatan Air Cheras dan Langat berpunca daripada pelepasan aliran di kilang berhampiran Sungai Semantan di Bentong.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.