Mahkamah perintah perbicaraan semula wanita dakwa dirinya bukan Islam

Mahkamah perintah perbicaraan semula wanita dakwa dirinya bukan Islam

Panel 3 hakim berkata, Rosliza yang dilahirkan ibu beragama Budha tanpa pernikahan sah, perlu diberikan peluang di mahkamah untuk mengemukakan kesnya.

Rosliza-Ibrahim
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memerintahkan perbicaraan semula seorang wanita Buddha yang memohon diisytiharkan undang-undang Islam Selangor tidak terpakai kepadanya dan Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas beliau.

Panel 3 hakim diketuai Hakim Abang Iskandar Abang Hashim berkata, Rosliza Ibrahim perlu diberikan peluang di mahkamah untuk mengemukakan kesnya.

“Keputusan ke atas kesnya tidak mapan, bukanlah satu alasan untuk membatalkan saman itu,” kata Abang Iskandar.

Mahkamah juga memerintahkan perkara itu didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi di Shah Alam.

Rosliza, 35, dilahirkan ibu beragama Buddha, yang membesarkannya mengikut agama tersebut.

Bagaimanapun, pihak berkuasa agama negeri di mana beliau kini menetap, menganggap beliau seorang Islam dan dengan itu tertakluk kepada undang-undang syariah kerana bapa kandungnya seorang Islam, walaupun luar nikah.

Jabatan Pendaftaran Negara enggan menggantikan nama Islamnya dan menggantikan dengan nama yang dipilih kerana memerlukan surat kelulusan daripada Mahkamah Syariah.

Tahun lepas, Rosliza, yang bekerja dalam industri farmaseutikal, memfailkan saman di Mahkamah Tinggi, memohon pengisytiharan yang undang-undang Islam Selangor tidak terpakai kepadanya dan mahkamah agama tidak mempunyai bidang kuasa ke atas beliau.

Beliau memberikan bukti daripada pihak berkuasa agama Selangor dan Wilayah Persekutuan yang beliau dan ibunya tidak pernah memeluk Islam.

Ibunya juga menyediakan akuan berkanun yang mengesahkan beliau tidak pernah berkahwin dengan bapa Rosliza yang kini tidak diketahui di mana berada.

Mahkamah Tinggi membatalkan saman Rosliza selepas mempertimbangkan merit kesnya.

Peguamnya, Aston Paiva memberitahu Mahkamah Rayuan hari ini yang Rosliza bukan seorang Islam kerana tidak ada bukti menunjukkan kedua-dua ibu bapanya berkahwin.

“Anak guam saya berhujah yang undang-undang Islam negeri tidak boleh digunakan kepada anak luar nikah yang dilahirkan oleh seorang ibu Buddha,” katanya.

Aston berkata Rosliza tidak mempunyai kawalan ke atas nama kerana ia diberikan oleh ibu bapanya.

“Juga tiada rekod pendaftaran perkahwinan ibu bapanya dengan mana-mana pihak berkuasa agama Islam,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas perkara dibangkitkan Rosliza.

Beliau berkata undang-undang dan enakmen agama negeri tidak terpakai pada Rosliza kerana statusnya sebagai anak luar nikah.

“Saya menggesa mahkamah menghantar semua kes ini ke Mahkamah Tinggi agar pelanggan saya boleh mengemukakan hujah-hujah beliau,” kata peguam itu.

Penolong Penasihat Undang-undang Negeri Selangor Nik Haizie Azlin Nabidin berkata sebarang keputusan sama ada Rosliza adalah seorang Islam atau tidak, hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

“Mahkamah agama juga boleh menentukan sama ada beliau dilahirkan di luar nikah,” Nik Haizie.

Peguam Philip Koh, yang bertindak sebagai pemerhati bagi Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST), menggesa mahkamah mengiktiraf hak Rosliza untuk mengamalkan agama pilihannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.