Kalau tak buat maksiat, tak perlu takut aplikasi Amar

Kalau tak buat maksiat, tak perlu takut aplikasi Amar

Pengarah Jais berkata jika seseorang itu tidak melakukan kesalahan, untuk apa hendak merasa takut dan bimbang.

amar_jais_600
PETALING JAYA :
Pendapat sesetengah pihak mengatakan aplikasi Amar yang baru dilancarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan menggalakkan perbuatan mengintip aib orang lain, merupakan pandangan orang takut.

Pengarah Jais Datuk Haris Kasim berkata jika seseorang itu tidak melakukan kesalahan, untuk apa hendak merasa takut dan bimbang.

“Kalau dia tak buat salah, dia nak takut apa? Kalah tak khalwat, hendak takut apa? Apa yang dibimbangkan? Kenapa nak susah hati dengan aplikasi ini,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan beberapa pihak mengenai aplikasi Amar akan menggalakkan perbuatan kemungkaran yang lain iaitu tajassus (mengintip aib orang lain).

“Bagi saya positifnya aplikasi ini ialah orang akan bimbang hendak berkhalwat. Itu salah satu sebab kita panggil dia Amar. Amar maaruf nahi mungkar. Lebih baik kita mencegah daripada merawat,” katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa agama itu juga menetapkan prosedur operasi standard (SOP) tertentu dan aplikasi berkenaan tidak bertujuan membolehkan masyarakat mengintip aib orang lain.

“Bukan semua aduan kita pergi. Kita ada SOP, dapatkan maklumat tepat, di mana dan siapa pengadu. Macam bomba, kalau orang mengadu mestilah hendak dapat maklumat yang tepat.

“Sekarang ini banyak maklumat palsu, kita boleh tapis maklumat palsu melalui aplikasi ini. Saya tak nak orang buat dengan sewenang-wenang (mengintip aib orang lain).

“Kita faham, kita tahu. Jadi aplikasi ini benda yang boleh memanfaatkan kita, bukan negatif,” katanya.
Selain itu, katanya aplikasi itu membolehkan mereka yang ada perasaan amar maaruf nahi mungkar untuk memuat naiknya.

“Orang yang tidak ada kepentingan tidak perlu muat naik aplikasi itu. Ia sesuai untuk pegawai Jais sendiri selain imam dan nazir. Orang yang ada perasaan cintakan agama. Dia tak nak maksiat berlaku, contohnya ajaran sesat.

“Kita tahu kebanyakan yang hendak mengadu, dia beritahu imam. Imam pun tidak tahu nombor Jais menyebabkan tindakan jadi lambat. Bila sudah berlaku, rosak baru hendak buat aduan,” katanya.

Pautan berita:

App pintar Jais – mengapa galakkan mengintip?

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/11/peguam-pertikai-ciri-intip-dan-lapor-aplikasi-pintar-jais/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.