Jais siasat senam aerobik tak sopan, pelaku tampil mohon maaf

Jais siasat senam aerobik tak sopan, pelaku tampil mohon maaf

Terdapat beberapa elemen terkait perlakuan tidak sopan di tempat awam atau suatu perbuatan menyebabkan Islam dipandang hina.

Tular tular tangkap layar gambar di aplikasi TikTok memaparkan beberapa wanita berpakaian tidak sopan didakwa melakukan aktiviti senaman.
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa agama Selangor sedang menyiasat perlakuan tidak sopan dalam aktiviti senaman aerobik di tempat awam yang menjurus agama Islam dipandang hina, dipercayai berlaku di Bukit Badong, dekat Shah Alam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohd Shahzihan Ahmad, berkata siasatan berkenaan dijalankan susulan penularan sebuah rakaman video menerusi aplikasi TikTok melibatkan aktiviti senaman aerobik itu.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius perbuatan itu dan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang.

“Hal ini kerana selain sangat tidak beradab, aktiviti itu mengandungi beberapa elemen yang boleh dikaitkan dengan perlakuan tidak sopan di tempat awam atau suatu perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina.

“Jais juga sedang menyiasat kejadian tersebut termasuk lokasi sebenar kejadian, penganjur program dan individu yang terlibat,” katanya menurut Bernama.

Susulan itu, beliau memohon kerjasama orang awam tampil membantu siasatan atau menghubungi talian hotline Jais 1800-88-2424.

Terdahulu, tular tangkap layar gambar di aplikasi TikTok memaparkan beberapa wanita berpakaian tidak sopan didakwa melakukan aktiviti senaman.

Dalam pada itu, seorang wanita tampil di TikTok memohon maaf kerana melakukan aktiviti zumba memaparkan ‘individu memakai tudung, tetapi tidak berkain’

Katanya, dia menyatakan pihak penganjur tidak tahu menahu selain memberitahu ia berlaku ‘secara spontan’.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Selangor, Azaharudin Tajudin, berkata pihaknya membuka kertas siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati senaman aerobik atau zumba itu bertemakan ‘Back To School’, lapor Berita Harian.

Azaharudin berkata, seorang daripada pengikut menanggalkan kain sekolah yang dipakai bagi memudahkan pergerakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.