Bajet 2017: Kumpulan pembeli mahu lebih banyak rumah mampu milik

Bajet 2017: Kumpulan pembeli mahu lebih banyak rumah mampu milik

Putrajaya perlu perkenalkan dasar menghalang spekulator mengumpul hartanah

Chang-Kim-Loong-
PETALING JAYA:
Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) mengharapkan harga rumah yang lebih berpatutan dalam Bajet 2017 nanti.

Bercakap kepada FMT Setiausaha Agung HBA Chang Kim Loong berkata harga rumah terlampau mahal.

“Sekarang ini ada ketakserasian antara harga rumah dan pembeli prospektif, menyukarkan orang untuk mendapatkan pinjaman bank. Penghujung ceritanya, harga terlampau mahal.”

Kim Loong berkata harga rumah ideal sepatutnya berharga RM300,000 dan ke bawah.

“Harapan kami untuk belanjawan kali ini adalah harga rumah diturunkan ke paras mampu milik.

“Pendirian HBA adalah harga rumah mampu milik yang berpatutan untuk pembeli rumah pertama adalah RM300,000 dan ke bawah.”

Selain menurunkan harga rumah, Kim Loong berkata kerajaan perlu mengambil langkah untuk mengurangkan kenaikan harga hartanah yang meruncing dengan menghalang spekulator hartanah daripada mengumpul hartanah.

“Aturan duti setem kerajaan yang rendah sekarang ini sudah disalahgunakan oleh spekulator hartanah untuk mengumpul hartanah, dengan itu melonjakkan harga dengan mewujudkan bayangan permintaan dan menafikan pembeli rumah pertama yang sebenar peluang untuk memiliki kediaman.

“Sudah menjadi harapan setiap rakyat Malaysia untuk memiliki sekurang-kurangnya satu kediaman peribadi dalam hayat mereka, dan barangkali satu lagi hartanah sebagai pelaburan jangka masa panjang.”

Sekarang ini, duti setem yang perlu dibayar untuk memindahkan hartanah ditentukan mengikut nilai hartanah. Jumlahnya sama tanpa mengira jumlah hartanah yang sudah dimiliki atau dijual.

Kim Loong mencadangkan skala duti setem dikekalkan untuk dua hartanah pertama, kemudian dinaikkan secara progresif untuk pembelian hartanah ketiga dan seterusnya, dengan matlamat untuk tidak mengalakkan pembelian spekulatif.

“HBA mencadangkan duti setem sebanyak 5% dikenakan ke atas pembelian hartanah ketiga, 7.5% untuk hartanah keempat dan 10% untuk hartanah kelima dan seterusnya.

“Ini tidak akan menjejaskan pembeli rumah pertama yang sebenar yang hanya mampu membeli dua hartanah dalam hayat mereka. Di samping itu, ia akan menghalang spekulator hartanah kerana duti setem menambahkan kos permulaan mereka.

Kim Loong turut rungsing dengan “surcaj” mandatori yang dikenakan syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Telekom Bhd.

“Kami bimbang melihat sebahagian daripada kos membina rumah sebenarnya ‘surcaj’ mandatori yang mereka (syarikat utiliti) kenakan. Contohnya, jika rumah itu berharga RM300,000, maka surcaj yang dikenakan adalah 5% hingga 10% daripada harga jualan.”

Sementara itu, bekas pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (Rehda) Pulau Pinang Jerry Chan turut bersetuju dengan pandangan itu, dan menyarankan surcaj terbabit dimansuhkan.

“Syarikat utiliti patut ketepikan semua surcaj untuk rumah kos rendah dan mampu milik.”

Kim Loong menambah antara isu yang Bajet 2017 perlu tangani adalah menyuruh institusi kewangan supaya mengutamakan pinjaman untuk pembeli rumah pertama.

“Institusi kewangan patut menyalurkan lebih banyak pinjaman kepada pembeli rumah mampu milik pertama.

“Pinjaman peribadi, pinjaman kad kredit lebih menguntungkan tetapi menambah hutang rakyat kebanyakan.”

Bajet 2017 akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan, pada 21 Oktober ini di Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.