
Dyana berkata walaupun Baljit Singh, yang mempengerusi biro undang-undang Gerakan, mahu menggalakkan penyertaan belia dan wanita dalam politik negara, kenyataannya mencerminkan pemikiran sempit terhadap kemampuan wanita muda.
Bekas calon DAP yang pernah bertanding menentang Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong itu turut berkata Baljit menunjukkan persepsi cauvinis terhadap wanita dalam politik.
“Saya juga mencadangkan mereka mengubah pemikiran yang ketinggalan zaman, seksis dan benci terhadap wanita serta menghormati wanita, jika mereka benar-benar ikhlas mahu memperkasakan wanita dalam politik Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baljit pada Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gerakan ke-45 semalam dilaporkan berkata, cara DAP meletakkan Dyana menentang Mah di Teluk Intan 2 tahun lalu memberi kesan besar.
“Kita perlu mengukuhkan parti. Di kerusi yang sudah pasti 100% kalah, kenapa letak lelaki Cina 70 tahun. Mengapa tidak letak wanita yang muda, manis, bertenaga, seksi yang sanggup berusaha melakukan sehabis baik untuk parti.
“Mungkin dia kalah, dia akan kalah, tetapi ia mencipta kesan yang besar,” kata Baljit dipetik akhbar The Sun.
Susulan itu, Baljit menjelaskan dalam Facebook kenyataannya merujuk kepada ahli veteran Gerakan, Azmar Md Alias, yang dianggapnya sebagai seorang “nenek”.
Dyana berkata, pemimpin Pakatan Harapan memberi peluang kepada wanita muda menyertai politik dan bukannya menjadi “pasu bunga hiasan” semata-mata menambah nilai estetika gambar kempen “seperti dibayangkan pemimpin Gerakan”.
Beliau turut memberi contoh PKR diterajui seorang presiden wanita, manakala DAP memberi kuota 30% kepada wanita dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat bagi menambah wakil wanita dalam membuat keputusan.
“Mungkin Gerakan boleh mempertimbangkan langkah sama, bukannya mengeksploitasi wanita muda untuk memenangi pilihan raya,” katanya.
Pautan: