
Pengerusi GAUM, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Himpunan Merah Rakyat Bersatu Tolak Rasuah akan diadakan pada masa dan lokasi sama dengan Bersih 5.
Beliau berkata, gerakan itu sedang berbincang dengan Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Jamal Md Yunos untuk bersatu dan bergabung tenaga bagi menjayakan himpunan itu.
“Ahli GAUM bersama rakan gabungan badan bukan kerajaan lain dijangka menurunkan ahli pada hari perhimpunan tersebut seramai 3,000 orang.
“Perancangan awal program ini adalah untuk berarak bersama baju kuning (Bersih 5) bermula di beberapa tempat, antaranya di hadapan bangunan Sogo dan seterusnya bergerak ke Dataran Merdeka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bersih 2.0 sebelum ini mengumumkan himpunan Bersih 5 akan diadakan pada 19 November ini untuk memberi tekanan kepada kerajaan bagi menyiasat skandal 1MDB dengan telus dan menuntut peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri.
Susulan itu, Jamal melancarkan gerakan ‘Merah V2’ minggu lalu, bagi membantah himpunan Bersih 5 di ibu negara.
Zulkarnain berkata, himpunan pada bulan depan itu lebih memfokuskan desakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berundur kerana rasuah.
“Turut disentuh semasa perhimpunan tersebut adalah isu perkampungan bumiputera yang dirobohkan di Pulau Pinang, isu air di Selangor, tempat berniaga bumiputera dirobohkan dan salah laku berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kami berjanji akan berarak secara aman dan berharap peserta Bersih 5 sudi berjalan bersama kami pada perhimpunan tersebut. Kami juga berharap provokasi melampau tidak akan berlaku pada perhimpunan itu,” katanya.
Sementara itu, Jamal ketika dihubungi FMT mengalu-alukan pihak yang mahu bergabung menentang Bersih 5, bagi menyedarkan rakyat apa yang dilakukan penganjur Bersih 5 itu tidak normal.
“Jadi, kita mempunyai undang-undang. Jika mereka melanggar undang-undang, takkan kami penyokong kuat kerajaan boleh melihat dengan tersenyum apa yang mereka lakukan.
“Jadi, kita alu-alukan semua NGO, berganding bahu menentang apa yang mereka lakukan,” katanya.
Pautan: