
Penasihat gerakan itu, Datuk Raja Bahrin Raja Ahmad berkata pihaknya juga terdorong melihat sambutan rakyat terhadap kempen Bersih 5 yang akan diadakan 19 November depan.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata pihaknya kesal Putrajaya tidak melayan tuntutan royalti Kelantan dan Terengganu.
“Setelah Kerajaan Malaysia bersetuju atas sebahagian besar tuntutan Negeri Sarawak, kenapakah tuntutan untuk kembalikan royalti 5% hasil minyak Terengganu yang telah dibatalkan tidak boleh dipersetujui?
“Kenapakah hak royalti minyak Kelantan yang telah begitu lama dinafikan tidak boleh diberikan?”
Pembayaran royalti petroleum kepada Terengganu ditarik balik sejak 2000 sewaktu negeri itu ditadbir PAS.
Sebaliknya ia ditukar kepada Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau lebih popular disebut “wang ehsan” dan diuruskan terus oleh Putrajaya.
Manakala Kelantan membuat tuntutan sebanyak RM1 bilion kepada Putrajaya untuk bayaran royalti minyak yang didakwa tertunggak sejak 2004.
Kelantan dan Terengganu merupakan negeri pengeluar minyak atau gas utama bagi Malaysia Barat, namun tersenarai sebagai negeri termiskin di Malaysia, kata Raja Bahrin.
“Sebagai salah satu badan bukan kerajaan yang akan turun menyertai Bersih 5 nanti, kami berharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.
“Bersih akan berlangsung sehingga 19 November sahaja tetapi Gerakan R akan berterusan sehingga tuntutan dilunaskan.
Sarawak menuntut dinaikkan kadar royalti minyak daripada 5% kepada 20%, dengan kedua-dua pihak – wakil rakyat BN dan pembangkang — menyokong usul tersebut di Dewan Undangan Negeri pada tahun 2015.