
Ia selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Roslan Abu Bakar membenarkan rayuan Marina Juki terhadap keputusan Mahkamah Sesyen, pada 4 April lalu, yang menolak saman Marina terhadap Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Ab Razak.
Peguam, Harjit Singh Sandhu yang mewakili Marina ketika ditemui pemberita berkata, mahkamah bersetuju Marina selaku pengurus peribadi Zizan berhak mendapat 15% komisen ke atas semua pendapatan yang diperoleh pelawak itu sepanjang 4 tahun kontrak perjanjian antara mereka.
Peguam itu berkata, mahkamah turut memerintahkan Zizan, 32, selaku defendan membayar kos RM10,000 kepada Marina (plaintif). Zizan dan Marina tidak menghadiri prosiding hari ini.
Harjit berkata, mahkamah turut menolak rayuan Zizan yang diwakili peguam, Rishwant Singh terhadap keputusan Mahkamah Sesyen tidak membenarkan tuntutan balas pelawak itu terhadap Marina.
Pada 5 November 2014, Marina memfailkan saman terhadap Zizan atas dakwaan melanggar kontrak perjanjian yang ditandatangani Zizan, syarikat Wire Fame dan Marina pada 3 Mei 2011.
Marina mendakwa berdasarkan kontrak itu, Zizan bersetuju melantiknya sebagai pengurus peribadi dan perjanjian itu selama 4 tahun itu tamat pada 2 Mei 2015.
Dalam pernyataan tuntutannya, Marina mendakwa pada Mei 2014, Astro mengesahkan Zizan berada di bawah pengurusan Astro dengan kontrak bernilai RM2 juta tanpa persetujuan syarikat Wire Fame dan plaintif.
Wanita itu mendakwa Zizan melanggar perjanjian kerana perpindahannya ke Astro dilakukan sebelum tamat tempoh kontrak dengan plaintif dan syarikat Wire Fame.
Marina mendakwa beliau kehilangan komisen 15% ke atas pendapatan Zizan bermula Mei 2014, iaitu selepas pelawak itu menandatangani kontrak baharu dan memohon ganti rugi khas RM535,500, ganti rugi am, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Marina juga memfailkan 1 lagi saman terhadap Zizan pada 30 September 2014 berhubung pembekuan 2 akaun syarikat Wire Fame untuk tempoh lama, bagaimanapun Mahkamah Tinggi membatalkan saman itu pada 10 Februari 2015, selepas membenarkan permohonan Zizan untuk berbuat demikian.