
Majistret, Noorul Fhaiez Mohd Nayan turut menasihatkan Muhamad Aiman Syafiq Mohd Azmi, 18, tidak mengulangi kesalahan itu.
Sepanjang prosiding kes, Muhamad Aiman Syafiq kelihatan menangis, termasuk ketika merayu untuk dikenakan hukuman ringan.
Operator kilang itu didakwa menunggang motosikal secara melulu dan membuat aksi ‘wheelie’ yang membahayakan diri serta pengguna jalan raya lain di Jalan Raja Laut, pada jam 12.40 pagi 21 Ogos lalu.
Di mahkamah sama, seorang jurujual barangan elektrik, Muhammad Faris Abu Kassim, 18, dipenjara 3 hari serta denda RM5,500 selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan sama dengan membuat aksi ala ‘Superman’ di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang, pada jam 3.30 pagi 27 Ogos lalu.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap Muhammad Faris dan Muhamad Aiman Syafiq bermula hari ini serta memerintah kedua-dua tertuduh dipenjara 3 bulan jika gagal membayar denda itu.
Mereka bagaimanapun membayar denda berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu kedua-duanya dibatalkan dan hilang kelayakan memohon serta memiliki lesen memandu selama 2 tahun.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 5 tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama 2 tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan.
Mengikut fakta kes, kedua-dua mereka ditahan dalam operasi ‘Ops Samseng Jalan Raya’ yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Hashimah Hashim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.