2 remaja, pasangan warga emas direman berhubung kes tikam gadis 61 kali

2 remaja, pasangan warga emas direman berhubung kes tikam gadis 61 kali

Dua remaja itu direman tujuh hari manakala dua lagi direman tiga hari bermula hari ini.

4 arrested over fatal stabbing of college student
Terdahulu, semua empat suspek dilaporkan ditahan dalam serbuan berasingan di Taman Murni, Jalan Abdul Kadir Adabi dan Kampung Belukar Luas, Ketereh, Kota Bharu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua remaja lelaki direman tujuh hari, manakala pasangan warga emas direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh gadis berusia 19 tahun di Kota Bharu, semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid terhadap semua suspek di Mahkamah Majistret Kota Bharu, menurut Sinar Harian.

Terdahulu, empat suspek berusia antara 19 hingga 66 tahun ditahan dalam serbuan berasingan di Taman Murni, Jalan Abdul Kadir Adabi dan Kampung Belukar Luas, Ketereh oleh sepasukan polis dari IPK Kelantan dan IPD Kota Bharu.

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat yang dilaporkan berkata, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu, berserta dua buah kereta, dua telefon bimbit, satu set pakaian, sepasang selipar dan empat unit pelapik kaki.

Mayat mangsa yang juga seorang penuntut kolej ditemukan dengan 61 kesan tikaman berhampiran kawasan sawah di Kampung Simah, Ketereh, kira-kira 12.35 tengah malam.

Dia disahkan meninggal dunia di lokasi penemuan sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk tindakan lanjut.

Hasil bedah siasat mendapati 61 tikaman di keseluruhan badan dan muka serta punca kematian adalah akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada.

Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.