4 remaja ditahan, disyaki buli penghuni rumah anak yatim

4 remaja ditahan, disyaki buli penghuni rumah anak yatim

Polis berkata ibu mangsa buat laporan dakwa anaknya dipukul dan kepala direndam dalam baldi berisi air oleh suspek.

Dzulkhairi Mukhtar
Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berkata empat remaja yang juga penghuni rumah anak yatim dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan empat remaja berusia 15 hingga 16 tahun kerana disyaki membuli seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di sebuah rumah anak yatim di Pantai Puteri, Melaka.

Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berkata, empat remaja yang juga penghuni rumah anak yatim berkenaan ditahan selepas ibu mangsa membuat laporan polis pada Rabu lalu, lapor Harian Metro.

Katanya, ibu kanak-kanak itu mendakwa anaknya dipukul dan ditendang suspek, malah kepala mangsa turut direndam ke dalam baldi berisi air serta diseret di atas lantai tandas.

“Bertindak atas laporan itu, polis melakukan siasatan dan menahan empat pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 16 tahun pada keesokannya.

“Semua suspek yang juga pelajar sekolah menengah itu ditahan bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil,” katanya.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan kerana membuli.

Dzulkhairi juga meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.