
Pengasas syarikat teksi Big Blue Capital (M) Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata aplikasi yang menyediakan perkhidmatan menghantar penumpang dan barang mula diterima baik oleh pengguna di mana kebanyakan mereka amat berpuas hati dengan layanan yang diberikan.
Ia sekali gus dijangka mampu menjadi pencabar utama kepada perkhidmatan e-hailing, Uber dan GrabCar yang menjadi pesaing kepada perkhidmatan teksi sehingga mencetuskan kontroversi.
“Pelanggan sangat berpuas hati dengan harga serta perkhidmatan yang kita berikan, malah banyak permintaan daripada syarikat yang mahu menggunakan perkhidmatan kita. Ia bukan sahaja dapat menjimatkan tempoh perjalanan pekerja tetapi penghantaran barang juga.
“Kami juga sedang giat menjalankan promosi serta berjumpa dengan pelanggan bagi memberi penerangan bagaimana untuk menggunakan aplikasi Zepto Blue dan sehingga kini kami sudah mempunyai lebih 50 pemandu teksi berdaftar,” katanya kepada FMT.
Tambah Shamsubahrin lagi, pihaknya dalam proses membawa pelabur dari luar negara bagi memperluaskan perkhidmatan itu.
“Sehingga kini 3 negara menunjukkan berminat iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia. Mereka tertarik dengan sistem aplikasi ini kerana ia lain daripada yang lain,” katanya.
Aplikasi Zepto Blue dilancar pada 15 September lalu dengan menyediakan perkhidmatan bukan sahaja mengambil penumpang malah turut menawarkan perkhidmatan menghantar barang menerusi perkhidmatan berjalan kaki, motor, kereta dan lori.
Aplikasi itu diwujudkan sebagai usaha mentransformasikan industri teksi dan pemandu yang menerima persaingan hebat daripada Uber dan GrabCar.
Pautan: