
Menceritakan pengalaman menjaga penghuni warga emas, Muji Sulaiman kadangkala ‘terduduk’ melihat sikap anak zaman sekarang mengabai ibu bapa mereka.
“Pernah seorang lelaki tua berkerusi roda diletakkan di hadapan pusat ini. Saya tidak sempat bersemuka dengan si penghantar.
“Bila ditanya pakcik sedang menunggu teksi ke? Dia hanya menggeleng. Dari situ saya faham dia ditinggalkan sejak pagi, seterusnya saya berkesempatan menjaganya sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir, tahun lalu.
“Ada beberapa kes saya terima, anak menghantar ibu atau bapa ke sini, hanya pada awalnya sahaja mereka datang jenguk. Selepas beberapa tahun kemudian langsung tiada khabar berita,” katanya kepada FMT.
Muji berkata, warga emas yang menghuni di pusat itu menghidap pelbagai masalah kesihatan, termasuk nyanyuk, angin ahmar dan kegagalan buah pinggang.
“Saya juga sering menerima penghuni yang dihantar anak atau menantu atas alasan ibu bapa mereka agresif kerana nyanyuk. Nasihat saya bagi mereka yang berdepan masalah sebegini, saya mohon anda rujuk mereka ke pusat rawatan psikiatri. Pihak hospital akan beri ubat diperlukan.
“Menghantar ibu bapa ke rumah orang tua bukan penyelesaiannya. Kalau dulu ibu bapa boleh jaga sampai 10 anak, kenapa kita tidak boleh jaga seorang? Semua orang sibuk cari duit, tetapi bukan sampai ke tahap menghantar mereka ke rumah orang tua,” katanya.
Rumah orang tua khas untuk umat Islam
Bekas jururawat di Hospital Kuala Lumpur itu menubuhkan Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di Kampung Pulau Meranti, pada 2003, yang kini menempatkan 50 penghuni beragama Islam.
Tanpa menerima sebarang bantuan kerajaan sepanjang 13 tahun ini, Muji membelanjakan hampir RM20,000 untuk membayar gaji 17 pekerja serta RM25,000 bagi keperluan lain setiap bulan.
“Aktiviti harian mereka dipenuhi program agama seperti mengaji, solat berjemaah dan kelas agama. Maklum sahaja, ketika muda masing-masing sibuk menstabilkan kewangan keluarga. Di penghujung usia ini, kita sibukkan diri dengan aktiviti berkaitan agama pula,” katanya.
Walaupun masjid lama yang diwakafkan kepada ibu tunggal itu kelihatan agak sempit, namun penghuninya berpuas hati dengan layanan diberikan kepada mereka.
“Saya ada 3 anak yang bekerja di ibu kota. Saya faham kesibukan mereka di tempat kerja. Adakala mereka datang menjenguk saya di sini.
“Kalau ikutkan hati, saya ingin pulang ke rumah, tetapi memandangkan kaki kiri baru dipotong akibat kencing manis, lebih baik tinggal di sini. Sekurang-kurangnya ada yang merawat dan pantau kesihatan saya,” katanya Asiah Roslan, 69, yang baru menetap di pusat itu.
Muji berkata, ada juga penghuninya yang dihantar dari hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dari seluruh Selangor.
Katanya, purata pusat berkenaan merekodkan 5 kematian setiap bulan dan urusan kematian penghuni menelan belanja sehingga RM1,200 seorang.
“Apabila ada kematian, sekiranya warga emas itu mempunyai anak atau adik-beradik, saya akan segera memaklumkan kepada mereka.
“Hanya 2% yang tampil membantu dalam urusan pengebumian. Tetapi, kita sebagai umat Islam, tidak elok kita mengadili sesuatu perkara tanpa mengetahui pucuk pangkal. Mungkin mereka ada masalah di masa silam, namun sebagai anak, untuk mendapat keredhaan Allah, jangan sesekali kecilkan hati orang tua,” katanya.
Rancang bina ‘Kampung Persaraan Ikhlas’
Bagi merealisasikan impian mendirikan perkampungan khas bagi pesara menjelang hujung 2017, Muji akan pergi ke Belanda dalam masa terdekat untuk melihat sendiri cara pengurusan konsep perkampungan di sana.
“Salah seorang anak angkat saya, Ganesh yang tinggal di sana memperkenalkan konsep perkampungan ini. Dalam perancangan, saya mahu menyediakan 600 katil di pusat berkenaan.
“Seramai 400 penghuni akan dikenakan bayaran, manakala 200 kekosongan akan diberi subsidi. Jumlah kutipan yuran bulanan bagi 400 penghuni itu akan membantu penghuni selebihnya.
“Semuanya masih dalam perancangan. Saya mohon sesiapa yang membaca artikel ini mendoakan perancangan ini terlaksana,” katanya sambil menambah ‘Kampung Persaraan Ikhlas’ bakal dibangunkan di Tuas, Johor, sebelum diperluaskan ke negeri lain.
“Jika diizinkan Allah, saya mahu perkampungan pesara itu dilengkapi sebuah hospital dan mempunyai ruang rehat yang selesa untuk warga emas,” katanya.
Pautan video: