Kerajaan pernah tolak usul syariah kerana fikirkan perasaan bukan Islam

Kerajaan pernah tolak usul syariah kerana fikirkan perasaan bukan Islam

Tetapi Mursyidul Am PAS Haron Din berjaya meyakinkan para menteri supaya menyokong usul Hadi, kata bekas pegawai undang-undang kerajaan

Mahamad-Naser-Disa_law
PETALING JAYA:
Seorang bekas pegawai kanan undang-undang kerajaan berkata dia pernah mencadangkan peningkatan kuasa Mahkamah Syariah pada 2004 tetapi ditolak pentadbiran BN kerana memikirkan perasaan orang bukan Islam.

Mahamad Naser Disa, sekarang ini profesor dan ketua eksekutif di Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim), bersyukur cadangan itu diangkat PAS.

Mohamad berkata beliau seorang pegawai kanan di Jabatan Peguam Negara ketika mencadangkan peningkatan kuasa Mahkamah Syariah.

Bercakap di satu wacana di Kuala Lumpur semalam, beliau bersyukur cadangan itu diangkat PAS, apabila presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencadangkan pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 supaya mahkamah diberi kuasa untuk melaksanakan beberapa hukuman jenayah syariah.

Hadi membentangkan usul peribadi rang undang-undang meminda akta tersebut, yang juga dikenali sebagai Akta 355, yang akan dibahas di Dewan Rakyat bulan ini. RUU itu, dilabel sebagai usul Hudud, dibantah DAP dan BN Sarawak.

Mohamad Naser berkata Mursyidul Am PAS ketika itu, Datuk Dr Haron Din, meyakinkan beberapa menteri kanan supaya menyokong cadangan pindaan itu.

“Syukur kepada Tuhan akhirnya ada usul pembangkang daripada Haji Hadi,” kata Mahamad Naser lapor Malay Mail Online. “Syukur kepada Tuhan, dengan nasihat yang diberikan oleh Tok Guru Haji Haron Din, para menteri, termasuk timbalan perdana menteri, termasuk perdana menteri, semua menyatakan sokongan dan sedia menyokong walaupun cadangan itu daripada pembangkang,” katanya menurut laporan itu.

Usul Hadi diangkat dalam agenda perbahasan Dewan Rakyat pada Mei, selepas kerajaan menyatakan tiada bantahan, tetapi Hadi mengusulkan perbahasan ditunda sehingga sidang Oktober.

Mahamad Naser menggesa ahli politik beragama Islam supaya ketepikan kepercayaan politik dan bersama menegakkan kedudukan Islam di Malaysia, walaupun parti pembangkang yang mengusulkannya.

Beliau dilapor berkata demikian di wacana pemerkasaan undang-undang syariah. Turut hadir sebagai panelis Timbalan Menteri Asyraf Wajdi Dusuki, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Angkatan Wanita Amanah Dr Siti Mariah Mahmud.

Usul Hadi itu berhasrat untuk perluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah bagi membolehkan ia menguatkuasakan hukuman jenayah syariah – kecuali hukuman mati.

Bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah ditetapkan undang-undang persekutuan dan kuasa dihadkan kepada hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun, tidak melebihi enam sebatan rotan, atau denda tidak melebihi RM5,000. Bagaimanapun Mahkamah Syariah beroperasi di bawah undang-undang Kerajaan Negeri dan Kelantan meminda enakmen supaya ia memuatkan hukuman jenayah syariah.

Undang-undang Hadi dibantah DAP, serta parti komponen BN MCA dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak. Minggu lepas, BN Sarawak mengumumkan mereka akan mengundi menentang usul itu, yang memerlukan 122 undi untuk diluluskan dengan majoriti mudah daripada 222 ahli Dewan Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.