Rekod buruk lalu punca orang bukan Islam bantah RUU 355

Rekod buruk lalu punca orang bukan Islam bantah RUU 355

Antaranya kes perebutan hak penjagaan anak antara Indira Gandhi dan Mohd Ridzuan Abdullah yang berlarutan akibat percanggahan antara mahkamah sivil dan syariah.

eugene-yap
PETALING JAYA:
Perbicaraan di Mahkamah Syariah yang melibatkan orang bukan Islam sebelum ini antara punca mengapa mereka membantah Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Pengarah Kairos Dialog Network Eugene Yap berkata insiden itu membuktikan orang bukan Islam akan turut menerima kesan daripada pindaan itu yang memberi lebih kuasa pada Mahkamah Syariah.

“Saya tidak boleh kata secara pasti keadaan akan menjadi bertambah buruk, tetapi tentulah ia membangkitkan kerisauan akan berlakunya ketidakadilan,” katanya pada forum ‘Rang Undang-undang syariah Hadi: Apa orang Kristian perlu tahu’ di Majlis Gereja Malaysia, di sini semalam.

Beliau membangkitkan kes hak penjagaan anak antara Indira Gandhi dan Mohd Ridzuan Abdullah, antaranya apabila Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 2014 enggan mematuhi arahan Mahkamah Tinggi untuk menangkap Ridzuan, atas dasar Mahkamah Syariah memberikan hak penjagaan kepada Ridzuan.

“Ini berlaku sebelum pindaan dibuat, bagaimana pula keadaan selepas pindaan nanti?” katanya pada forum yang dihadiri 200 orang.

Beliau juga membangkitkan isu golongan peribumi di Sabah dan Sarawak yang memiliki nama Islam dan didaftarkan sebagai Islam dalam kad pengenalan.

“Sekian lama mengamalkan Kristian, mereka didakwa murtad dan dibicarakan di Mahkamah Syariah. Jika di Sabah hukumannya sebelum ini menjalani pemulihan selama tidak lebih 36 bulan, selepas pindaan ia boleh jadi 5 hingga 10 tahun,” katanya.

Usul yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu antaranya bertujuan meningkatkan tahap hukuman bagi undang-undang syariah, yang kini terhad kepada denda tidak lebih RM5,000, penjara tidak lebih 3 tahun dan 6 sebatan.

Biro Undang-undang Amanah sebelum ini mengkritik peruntukan tersebut yang dikatakan terlalu kabur kerana menetapkan hukuman ‘selain daripada hukuman mati’.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Helen Ting setuju dengan pandangan itu dan menggesa kerajaan terlebih dulu menyelesaikan percanggahan yang timbul akibat pertembungan mahkamah sivil dan syariah.

Pengarah Catholic Research Centre Clarence Devadass itu bimbang usaha berkenaan akan membawa negara ke arah sistem teokrasi (hukum agama sebagai dasar negara).

“Sistem (pemerintahan) apakah yang kita inginkan untuk Malaysia?

“Dalam sistem teokrasi, bolehkah satu kumpulan memastikan semua orang dibela sehingga tiada satu pun yang dipinggirkan? Ia tentunya akan lebih berpihak kepada satu golongan saja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.