
Pengarah Kairos Dialog Network Eugene Yap berkata bukan semua orang Islam setuju dengan langkah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi untuk meminda akta itu.
“Adakala kita cenderung membuat generalisasi. Di sini ada banyak kumpulan (NGO orang Islam) yang menjalankan peranan masing-masing. Kita perlu akui adanya kepelbagaian,” katanya pada forum ‘Rang Undang-undang Syariah Hadi: Apa orang Kristian perlu tahu’ di Majlis Gereja Malaysia, di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan hadirin berhubung strategi untuk berdepan agenda masyarakat Islam, termasuk meminda Akta RUU 355.
Ketika sesi pembentangannya sebelum itu, beliau menolak kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang dipetik Sinar Harian 1 Jun lalu sebagai berkata jika RUU itu diluluskan Dewan Rakyat untuk dibahaskan, bermakna ia kemahuan majoriti rakyat.
Yap berkata, selepas perbincangan mendalam bersama beberapa NGO Islam, beliau mendapati ramai orang Islam yang tidak setuju dengan pindaan tersebut.
“Orang Islam sendiri mengambil pendekatan berwaspada. RUU ini menimbulkan perbezaan dalam komuniti Muslim. Ini kita jarang dengar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap orang bukan Islam dan orang Islam dapat kembali ‘duduk semeja’ dan bekerjasama untuk kebaikan negara.