
Dalam reaksinya, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali menuduh Wan Salim bercakap bagi kepentingan politik pihak tertentu.
“Nampak gaya cara bercakap mufti itu dia seolah-olah menjaga kepentingan politik parti tertentu,” katanya kepada FMT tanpa menamakan parti yang dimaksudkan.
Semalam, Wan Salim berkata RUU yang dibentangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang Mei lalu itu tidak boleh disama taraf sebagai undang-undang Allah kerana ia usaha manusia, dan oleh itu wujud kelemahan yang perlu diperbaiki.
Beliau turut kecewa segelintir agamawan yang dengan mudah mengkafirkan pihak yang tidak setuju dengan RUU 355.
Sebaliknya, Khairuddin berkata usul itu membantu menegakkan kehendak Allah.
“Apa kehendak Allah? Kehendak Allah ialah RUU ini memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk menghukum pesalah syariah berdasarkan syariat Allah,” kata Khairuddin.
“Adakah selama ini dengan Akta 355 yang memberi kuasa kepada mahkamah syariah menghukum pesalah syariah hanya sekadar 3 tahun penjara, RM5,000 denda dan 6 kali sebatan itu bertepatan dengan syariah?
“Adakah mufti memperakui perkara ini? Adakah mufti bersetuju Akta 355 ini bertepatan dengan syariah?” kata ahli Parlimen Kuala Nerus itu.
Menurutnya, Wan Salim memberi gambaran negatif mengenai RUU itu.
“Cara bercakap mufti ini memberi gambaran yang negatif dan menjadikan alasan melambat-lambatkan ruu ini.
“Memanglah RUU ini bukan undang-undang Tuhan tetapi membantu menegakkan undang Tuhan. Jangan kita bermain dengan kata-kata. Bagi saya mufti bermain dengan kata-kata,” katanya.
Pautan berita :
Tolak RUU Hadi tidak bermakna kafir, kata mufti Pulau Pinang