Tolak RUU Hadi tidak bermakna kafir, kata mufti Pulau Pinang

Tolak RUU Hadi tidak bermakna kafir, kata mufti Pulau Pinang

Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor RUU itu hanya langkah memperkasa dan memartabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia yang mungkin masih ada kelemahan.

Dr-Wan-Salim-Wan-Mohd-Noor-hudud
PETALING JAYA:
Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) bukan hukum Tuhan sepenuhnya, kata mufti Pulau Pinang.

Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata maka ada kemungkinan wujud kelemahan dalam RUU itu yang perlu diperbaiki sebelum boleh dilaksanakan.

Katanya, beliau sedih dengan sikap segelintir agamawan dengan mudah mengkafirkan pihak yang tidak setuju dengan RUU 355, meskipun ia masih belum dibentangkan.

“RUU 355 bukan hukum Allah. Ini hanya merupakan satu langkah ke arah memperkasa dan memartabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia yang akan dibentangkan nanti.

“Biarlah ia dibincangkan dulu dengan teliti dari pelbagai aspek. Kita tidak wajar memaksa mana-mana ahli Parlimen menerima RUU 355 dengan apa jua cara, termasuk mengugut kononnya sesiapa tidak menyokong akan menjejaskan akidah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walaupun tidak menyebut nama, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Yang Dipertua PAS Padang Serai Shaharuddin Ibrahim yang berkata Ahli Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail patut dikuburkan di perkuburan Cina jika menolak RUU itu yang akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang.

“Kak Wan kena angkat tangan (menyokong RUU), kalau Kak Wan tak angkat tangan boleh menyebabkan jatuh iman, kalaulah ditakdirkan lepas tak angkat tangan tu mati, kami tanam (di) jirat,” katanya dalam rakaman yang tersebar baru-baru ini.

Bagaimanapun, Wan Salim berkata sebarang usaha ke arah memartabatkan Mahkamah Syariah amat penting dan harus disokong semua pihak.

“Sebaiknya kerajaan sendiri membentangkannya seperti sebelum ini, agar dilihat lebih serius dan tidak dilihat gimik politik semata-mata,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.