
Dekan Fakulti Sastera, Komunikasi dan Pendidikan (FACE) Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL), Prof Faridah Ibrahim berkata, kajian terhadap berita pilihan pembaca yang dijalankannya itu melibatkan 352 responden di Lembah Klang mendapati, media arus perdana tidak melaporkan perselisihan antara kaum disebabkan tapisan dan pendirian pemilik media masing-masing.
“Sebaliknya, maklumat berkaitan hubungan etnik lebih banyak dibincangkan secara mendalam oleh penulis blog dan media alternatif yang lebih terbuka dan tidak terikat dengan apa-apa polisi,” katanya pada sesi pertama Forum Media Kebangsaan 2016 anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI), hari ini.
Katanya, kajian itu turut menunjukkan isu hubungan etnik berada pada kedudukan ke-7 daripada 10 isu penting.
Sehubungan itu, beliau menggesa media arus perdana lebih kreatif dan inovatif dalam melaporkan berita berkaitan hubungan etnik bagi memastikan laporan mereka menjadi pilihan masyarakat, sekaligus memupuk perpaduan negara.
Faridah berkata, media arus perdana perlu lebih fokus dalam menerbitkan berita mengenai kelebihan dan keistimewaan pelbagai etnik dalam usaha memupuk perpaduan di kalangan etnik negara ini.
Mengulas dapatan kajian tersebut, Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berpandangan, kurangnya minat terhadap isu hubungan etnik kerana masyarakat lebih mementingkan akses keperluan hidup masing-masing.
Menurutnya, apa yang lebih penting untuk masyarakat ialah jaminan masa depan keluarga mereka dan itu menyebabkan mereka tidak menumpukan perhatian terhadap hal hubungan kaum dan kesannya kepada masyarakat.
Katanya, dengan adanya platform media yang pelbagai, cara rakyat Malaysia untuk tidak bersetuju dalam sesuatu perkara kini berbeza.
“Namun, isunya sekarang adakah isu yang diluahkan mereka itu soal peribadi atau untuk kepentingan masyarakat. Garis pemisah antara soal peribadi dan masyarakat sukar dipisahkan sehinggakan isu berkaitan ekonomi juga dijadikan isu etnik,” katanya selepas tamat sesi pertama forum itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya berkata, kurang tepat untuk mengatakan media arus perdana tidak memainkan peranan dalam memupuk perpaduan antara kaum di negara ini.
“Saya rasa bukan media arus perdana tidak memainkan peranan dalam memupuk perpaduan, tetapi masalahnya ialah ungkapan perpaduan itu sendiri. Perpaduan mesti ada 2 elemen, iaitu kesepaduan dan penyatupaduan. Dalam perpaduan ada kesepaduan dan dalam kesepaduan ada penyatupaduan.
“Jika kedua-dua elemen ini dapat difahami media dan juga ahli politik, maka akhirnya perpaduan boleh dicapai. Tetapi, jika sistem dalam masyarakat berdasarkan etnik, saya percaya ini adalah tugasan berat jika media sahaja yang menyempurnakan tugasan memupuk perpaduan,” katanya.