
Nizam yang juga penyandang DUN Apas berkata semua dakwaan tersebut adalah fitnah serta rekaan sepenuhnya, yang bertujuan mencemarkan nama baiknya sebagai calon GRS untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN Sabah ke-17.
“Tidak pernah keluar daripada saya dalam apa-apa bentuk ucapan, kenyataan awam atau bahan kempen berkaitan perkara itu, saya juga ingin menegaskan bahawa saya seorang individu yang rapat dengan semua kaum dan komuniti di Tawau dan Sabah.
“Saya mempunyai hubungan kukuh serta kerja kolaboratif dengan pelbagai pertubuhan masyarakat termasuk Persatuan Komuniti Bugis Sabah dan saya turut menjadi penasihat kepada beberapa persatuan etnik lain di kawasan ini,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Terdahulu, tular gambar yang mendakwa Nizam sebagai berkata ‘Saya tidak perlukan sokongan orang Bugis’ di media sosial.
Nizam berkata fitnah itu bertentangan sama sekali dengan nilai hidup, kerja-kerja sosial dan rekod khidmat beliau selama ini, termasuk dalam menjayakan Festival Kebudayaan Antarabangsa di Tawau.
“Saya sendiri berjumpa pimpinan negeri bagi mendapatkan kelulusan festival itu, yang menghimpunkan pelbagai suku kaum. Jadi bagaimana saya boleh dituduh tidak mahu sokongan komuniti tertentu?, katanya.
Nizam berkata beliau mengarahkan peguamnya untuk membuat laporan polis terhadap portal yang menyebarkannya fitnah berkenaan, agar siasatan dan tindakan undang-undang dijalankan.
Beliau berkata fitnah dan politik kotor seperti itu, tidak mempunyai tempat dalam demokrasi Sabah.
Apas ialah satu daripada DUN dalam Parlimen Tawau selain Balung serta Sri Tanjong dan terletak kira-kira 500km dari Kota Kinabalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala pengundian awal pada 25 Nov.