Sekali lagi, pekerja AAM ‘ditipu’, gaji masih tak dapat

Sekali lagi, pekerja AAM ‘ditipu’, gaji masih tak dapat

Pekerja AAM sepatutnya menerima gaji pada 15 September, tetapi ditunda 23 September sebelum pengurusan syarikat memaklumkan gaji akan hanya dibayar pada 30 September.

aam
PETALING JAYA: Pekerja Persatuan Automobil Malaysia (AAM) sekali lagi rasa ‘tertipu’ apabila masih belum menerima baki gaji, walaupun selepas 2 kali tarikh pembayaran itu ditunda iaitu pada 15 September dan 23 September.

Kakitangan AAM Mohamad Tajuddin Jailani berkata pihak pengurusan syarikat memaklumkan yang bayaran gaji ditangguhkan lagi sehingga 30 September tanpa memberi alasan munasabah.

Seorang lagi kakitangan, Saiful Sallehuddin berkata setakat ini sebahagian daripada kakitangan sudah berhenti kerja kerana terlalu kecewa dengan AAM yang gagal menunaikan janji.

“Mereka tidak beri alasan ia ditunda dan kini semakin ramai kakitangan berhenti kerana kecewa AMM tidak menunaikan janji untuk bayar gaji ikut waktu, malah pihak pengurusan langsung tidak berbincang dengan kami,” katanya.

Saiful mendakwa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga dalam proses menyaman AAM kerana hampir setahun tidak membuat bayaran caruman kepada kakitangan.

Selepas menerima gaji Mei, pada 18 Ogos lepas, mereka sepatutnya menerima 3 bulan gaji pada 15 September.

Timbalan Pengerusi AAM Wan Zaharuddin Wan Ahmad sebelum ini berkata pihaknya berjanji akan melunaskan 2 bulan gaji tertunggak pada 23 September.

“Kita sudah keluar kenyataan, ada kelewatan sedikit dan perkara ini sudah dimaklumkan kepada kakitangan AAM sebab pembiayaan kami masuk lambat. Kita berjanji akan bayar 2 bulan gaji pada 23 September ini,” katanya ketika dihubungi FMT.

The Star pada Sabtu melaporkan, AAM berhadapan krisis hutang RM6 juta ekoran tuntutan semula bayaran yuran tahunan ahli yang melanggan perkhidmatannya selain tunggakan gaji pekerjanya.

Perkara itu diberitahu pegawai AAM yang enggan namanya disiarkan kepada akhbar itu selepas turut mendedahkan 16 pusat panggilan bantuan pelanggan AAM sudah tidak beroperasi selepas pekerjanya tidak hadir bekerja.

Sumber itu mendakwa AAM merancang menjual bangunannya di Shah Alam pada harga RM7.5 juta sebagai sebahagian daripada rancangan menebus kerugiannya.

 

Pautan:

AAM: Selain tunggakan gaji pekerja, pelanggan juga tuntut yuran keahlian

Selepas protes, staf AAM persoal hanya terima gaji sebulan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.