
Presiden PFA Zamri Ibrahim berkata, perkara itu antara isu yang dibincangkan dalam Kongres Tahunan PFA di Kangar hari ini.
Katanya, persatuan itu merancang mengemukakan permohonan selepas jawatankuasa baharu FAM dilantik.
“PFA tidak bercadang memohon keahlian baharu, sebaliknya akan mengemukakan permohonan supaya keputusan pemecatan sebelum ini ditarik balik,” katanya, lapor Bernama.
Pada kongres itu, jawatankuasa baharu PFA bagi sesi 2026 hingga 2030 turut dipilih, dengan Zamri dilantik semula sebagai presiden.
Pada 4 Sept tahun lepas, FAM dilaporkan memecat PFA sebagai ahlinya, selepas persatuan bola sepak negeri itu gagal menyelesaikan isu berkaitan arahan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), termasuk pembayaran gaji tertunggak dan pampasan kontrak kepada bekas pengarah bola sepak PFA Matt Holland dalam tempoh enam bulan ditetapkan.
PFA bagaimanapun boleh mengemukakan permohonan untuk menjadi ahli FAM semula selepas semua isu berkenaan berjaya diselesaikan.
Sebelum itu, pada Disember 2024, FAM memutuskan untuk menggantung PFA sehingga ia melunaskan sepenuhnya tunggakan gaji dan pampasan kontrak yang dituntut Holland, selaras dengan arahan Fifa yang dikeluarkan pada 4 Dis 2019.
Zamri mendakwa, PFA tidak pernah dipanggil oleh FAM untuk berbincang mengenai penyelesaian isu tunggakan gaji dan pampasan kontrak tersebut sebelum mengambil segala tindakan terhadapnya.