3 beranak disyaki dibunuh dalam rumah sewa

3 beranak disyaki dibunuh dalam rumah sewa

Tiada kesan kecederaan pada mangsa mahupun tompokan darah di unit itu, namun ketiga-tiga mayat itu mula mereput

killed-segambut
KUALA LUMPUR:
Mayat seorang lelaki dan 2 anaknya yang dipercayai dibunuh, dijumpai dalam sebuah rumah sewa di tingkat dua Apartment Nova, Sri Sinar, Segambut, hari ini.

Ketua Polis Sentul, ACP R Munusamy berkata, mayat Cheah Thing Soon, 34, serta anak perempuannya berusia 3 tahun dan anak lelakinya berumur 7 bulan ditemui dalam 2 bilik di unit itu, kira-kira 12 tengah hari tadi.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan daripada isteri mangsa yang terkejut menjumpai mayat 3 beranak itu ketika pergi ke pangsapuri berkenaan.

Munusamy berkata, siasatan awal mendapati, tiada kesan kecederaan pada mangsa mahupun tompokan darah di unit itu, namun ketiga-tiga mayat itu mula mereput.

“Mayat kedua-dua kanak-kanak itu ditemui dalam 2 bekas simpan barang yang besar dan ditutup dengan plastik. Bapa mereka ditemui mati dalam keadaan terlentang di bilik tidur utama,” katanya di tempat kejadian.

Munusamy berkata, mangsa dan isterinya kini tinggal berasingan.

Menurutnya, polis turut mengambil keterangan isteri mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Beliau berkata, siasatan mendapati, mangsa dan isterinya mempunyai 2 lagi anak yang kini dijaga bapa mangsa.

Mayat 3 beranak itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Akta Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.