
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Khairuddin Aman Razali berkata hukum menghina seseorang adalah jelas dan diketahui umum.
“(Kita) Debat jika tidak jelas hukum. Tidak ada akal yang sihat membolehkan caci orang. Kalau boleh, maknanya kita boleh caci Zaid Ibrahim,” katanya kepada FMT.
Selepas dibidas PAS dan Isma kerana mempersoalkan tindakan menyamakan mereka yang mengkritik ulama sebagai menghina Islam, Zaid semalam menjemput kedua pertubuhan berbincang dengannya secara terbuka mengenai perbezaan agamawan dan orang politik yang menjual agama.
PAS dan Isma mempertahankan pendirian mana-mana orang tidak boleh dihina, terutamanya orang yang berilmu.
Manakala Zaid mempertahankan pendiriannya yang seseorang tidak kebal kritikan hanya kerana bergelar “Tok Guru”
“Orang politik mestilah bersedia menghadapi cara budaya politik negara dan mereka tidak boleh berselindung atau mengharap musuh memberi mereka ‘keistimewaan” atau “preferential treatment” kerana mereka dipanggil ulamak,” tulis Zaid di blognya.
Pertelingkahan ini menyusuli penangkapan beberapa individu termasuk bekas wartawan Sidek Kamiso yang dituduh menghina Islam kerana kiriman Twitter menyentuh kematian bekas Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din baru-baru ini.
Khairuddin berkata sekalipun berbeza pandangan, kritikan terhadap agamawan dan ahli politik boleh dilakukan secara sihat, bukannya dengan cara menghina.
“Kita boleh beza pandangan, tetapi kritik secara baik. Tidak ada keperluan untuk berbincang (dengan Zaid). Bincang untuk apa lagi, nak tegakkan benang yang basah,” katanya.