Ahmad tolak jawatan bukan perkara baru, Nik Aziz, Haron Din juga pernah tolak

Ahmad tolak jawatan bukan perkara baru, Nik Aziz, Haron Din juga pernah tolak

Kebiasaannya kerana pemimpin itu mahu memikirkan tawaran secara mendalam sebelum membuat keputusan, jelas Mahfodz Mohamed

ahmad-yakob_Ahmad-Yaakob_6001
PETALING JAYA:
Keputusan Datuk Ahmad Yaakob menolak jawatan Mursyidul Am PAS bukanlah perkara baru kerana Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Dr Haron Din juga pernah berbuat demikian.

Ahli Majlis Syura Ulamak PAS Datuk Mahfodz Mohamed menjelaskan kebiasaannya sikap itu diambil kerana pemimpin itu mahu memikirkan tawaran secara mendalam sebelum membuat keputusan.

“Pimpinan parti tawaduk (merendah diri dan taat), dulu Haron Din juga tidak mahu tetapi bila parti putuskan, beliau terima.

“Saya percaya Datuk Ahmad Yaakob macam itu juga. Beliau tidak mahu terima terus, beliau akan fikir dengan mendalam kerana tanggungjawab jawatan itu besar,” katanya kepada FMT.

Mursyidul am menjadi penasihat kepada eksekutif parti dan menjadi rujukan dalam perkara dasar perjuangan. Ia tidak terbabit dalam pentadbiran eksekutif parti.

Nik Aziz di kedudukan itu antara individu penting dalam pembentukan Pakatan Rakyat, manakala Haron Din memainkan peranan penting dalam merapatkan hubungan antara PAS dan Umno.

Lidah rasmi PAS, Harakah Daily melaporkan Ahmad ingin kekal sebagai timbalan mursyidul am kerana mahu “beri laluan kepada orang lain yang lebih layak”.

Ahmad, yang juga merupakan Menteri Besar Kelantan dan Adun Pasir Pekan, kini memangku jawatan yang ditinggalkan Haron Din, yang meninggal dunia pada 16 September lalu.

Mahfodz dimaklumkan mengenai hasrat penolakan itu melalui laporan media. Beliau menambah keputusan muktamad akan diketahui di mesyuarat Majlis Syura Ulama nanti.

“Beliau bukan orang pertama (memegang dua jawatan tinggi). Dulu Nik Abdul Aziz pun macam itu, dia menteri besar dan dia juga Mursyidul Am Pas.

“Untuk saya, Ahmad adalah individu terbaik untuk ketuai Majlis Syura Ulama. Dia memang seorang yang baik, tawaduk, tidak mahu menunjuk-nunjuk,” katanya.

Pautan:

Ikut hierarki dan tradisi PAS, MB Kelantan pengganti Haron Din

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.