PAS mahu rampas kerusi Muar pada PRU16

PAS mahu rampas kerusi Muar pada PRU16

Pesuruhjaya PAS Johor Mahfodz Mohamed berkata parti itu akan mempertahankan kerusi Maharani pada PRN akan datang.

Pesuruhjaya PAS Johor Mahfodz Mohamed berkata kesiapsiagaan jentera parti diperkukuh lebih awal sebagai persediaan menghadapi persaingan politik dijangka lebih sengit di negeri itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
PAS Johor menyasarkan untuk merampas kerusi Parlimen Muar pada PRU16, kata Pesuruhjayanya, Mahfodz Mohamed.

Menurutnya, PAS juga akan mempertahankan kerusi DUN Maharani pada PRN Johor akan datang.

“Kesiapsiagaan jentera parti kini diperkukuh lebih awal sebagai persediaan menghadapi persaingan politik yang dijangka lebih sengit,” katanya menurut Sinar Harian pada Program Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) Johor di Pusat Komuniti Pas Muar, Parit Tarom.

Program itu dirasmikan Pengarah Pilihan Raya PAS, Sanusi Md Nor yang turut menyempurnakan pelancaran jentera pilihan raya PAS Johor.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Muar pada PRU15 dengan meraih 19,961 undi, menewaskan calon PN dan Barisan Nasional dengan majoriti 1,345 undi.

Abdul Aziz Talib pula memenangi DUN Maharani pada PRN Johor 2022 dengan majoriti 1037 undi dalam pertandingan enam penjuru.

Sanusi berkata, pengagihan kerusi masih dalam perbincangan bersama kepimpinan PN negeri, termasuk kemungkinan mereka bertanding semua 56 kerusi DUN Johor.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, beberapa tokoh baharu, termasuk daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik berminat menyertai PN.

Bendahari agung PN itu berkata, permohonan rasmi telah diterima dan ia masih dalam pertimbangan.

“Ada ramai tokoh besar NGO dan parti yang sedang berkawan dengan kita. Mereka dah buat permohonan, tetapi ini belum dibincangkan lagi.

“Ada yang mohon, tetapi belum mengaku secara terbuka. Jadi, saya tak boleh cakap lagi, nanti saya maklumkan.”

Berhubung kemungkinan Pejuang menyertai PN, beliau memberi bayangan ia masih dalam rundingan dan enggan mengesahkan secara terperinci.

Mengenai pelantikan ketua pembangkang baharu, Sanusi berkata, perkara itu perlu diputuskan Ahli Parlimen pembangkang sendiri.

“Insya Allah sebelum sidang Parlimen akan datang, bulan Jun, akan ada keputusan. Bila dilantik nanti, ia perlu dimaklumkan dan disahkan di Parlimen.”

Pada 12 April lalu, Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan Hamzah Zainudin yang dipecat Bersatu Februari lalu, meletak jawatan ketua pembangkang sehari sebelumnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.