
Abdul Jalil Ali berkata Sinar Harian tidak ditekan untuk menggugurkan pensyarah itu, menurut laporan Malay Mail Online.
Ketua editor itu menjelaskan perubahan itu merupakan tatacara kerana majoriti penulis menulis hanya untuk “satu atau dua tahun”.
Ridhuan, jelasnya, menulis untuk Sinar Harian hampir tiga tahun.
“Tidak ada tekanan daripada Umno atau MCA atau parti-parti lain. Beliau diberi kebebasan untuk menulis selama ini, walau apa pun yang ditulisnya,” katanya lapor portal itu.
Awal hari ini, lidah rasmi Ikatan Muslimin Malaysia melaporkan kolum mingguan Ridhuan yang disiarkan setiap hari Isnin digugurkan sejak 5 September lalu.
Ismaweb.net juga mendakwa Ridhuan dilarang daripada mengulas perkara itu.
Ridhuan terkenal dengan pandangannya yang cenderung berbaur perkauman. Dia juga dikenali dengan penggunaan perkataan “ultra kiasu” untuk menggambarkan musuh Islam, serta DAP dan MCA.
Pada Mei lalu, Ridhuan mengejutkan orang ramai apabila mengumumkan keluar MCA. Ramai yang terkejut beliau ahli parti itu.
Tindakan itu akibat daripada pendirian MCA terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul peribadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).
Dalam salah satu penulisan terakhirnya, Ridhuan mendakwa “ultra kiasu” lebih cenderung melibatkan diri dalam sukan individu, berbanding sukan yang memerlukan kerja berpasukan.
Bola sepak dan hoki, yang memerlukan kekuatan “jamaah” tidak lagi menarik minat bukan Melayu, dakwa Ridhuan, kerana acara individu lebih menguntungkan.
Dakwaan itu mengundang kecaman daripada Menteri Sukan Khairy Jamaluddin kerana menghina atlet Malaysia.