
Ooi disoal siasat selama empat jam dan meninggalkan Balai Polis Jalan Patani pada jam 6.30 petang.
Beliau menyerah diri secara sukarela pada jam 2.30 petang. Beliau tidak bercakap kepada pemberita sewaktu meninggalkan balai itu.
Peguam Ooi, RSN Rayer berkata polis meminta anak guamnya supaya pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di Bandar Kinrara, Puchong semalam untuk diambil keterangan.
Polis kemudian meminta Ooi melapor diri ke Balai Polis Jalan Patani di George Town, katanya.
Rayer menambah Ooi disoal selama empat jam dan anak guam memberi kerjasama penuh.
Rayer berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan kesalahan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.
Beliau menambah Ooi turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Minor Faridalathrash Wahid berkata Ooi ditemui anggota polis daripada Bakai Polis Dang Wangi di Balai Polis Jalan Patani pada jam 2.45 petang hari ini.
Mior menambah beberapa laporan polis turut dibuat terhadap Ooi daripada daerah Timur Laut dan laporan itu dirujuk kepada penyiasat daripada Dang Wangi.
Ooi mengundang kontroversi selepas beliau mengulang twit seorang bekas wartawan dengan keterangan: “Adios, Harun Din. Let there be peace” pada Jumaat.
Haron Din meninggal dunia selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Amerika Syarikat. Beliau berada dalam keadaan koma selepas mengalami masalah jantung. Beliau meninggal dunia ketika umurnya 76.
Bekas wartawan The Star Sidek Kamiso kemudian ditahan polis dan disiasat untuk twit yang dianggap menghina agama Islam. Sidek dibebaskan selepas Mahkamah majistret di Johor Bahru tidak membenarkan perintah reman.
Menurut Ooi, twit dipadam selepas Kamiso menghubunginya meminta ia dipadamkan.
Polis kemudian memanggil Ooi untuk memberi keterangan selepas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran polis akan menangkapnya jika tidak tampil ke depan.
DAP menjauhkan diri daripada isu twit Ooi, apabila Setiausaha Agung Lim Guan Eng menyifatkan kenyataan Ooi sebagai tidak sensitif.