
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Muhammad Idzam Jaafar berkata, siasatan mendapati wanita itu dicekik selepas berlaku pertengkaran dengan suspek berusia 51 tahun di rumah mangsa.
“Pergaduhan berpunca daripada isu kewangan dengan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya kepada pemberita hari ini, lapor Bernama.
Muhammad Idzam berkata, mayat belum dituntut setakat ini kerana identitinya masih tidak disahkan, selain keputusan ujian DNA belum diperoleh.
Pada Khamis lepas, mayat seorang wanita, yang dipercayai telah meninggal dunia lebih tiga hari, ditemukan di dalam beg yang ditanam di belakang sebuah rumah di Kampung Batu 4.
Susulan itu, polis menahan dua lelaki berusia 51 dan 41 tahun, dengan suspek utama direman tujuh hari hingga Khamis ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.