3 IED ditemukan susulan letupan di Nilai

3 IED ditemukan susulan letupan di Nilai

Polis menemukan bahan letupan dalam kenderaan kira-kira 250m dari tempat kejadian.

Alzafny Ahmad
Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata, pihaknya terima laporan berhubung kejadian pada 7.08 pagi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menemukan tiga objek disyaki peranti bahan letupan buatan sendiri (IED) susulan kejadian letupan di kawasan Desa Palma, Nilai, pagi tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.08 pagi selepas orang awam memaklumkan terdapat objek meletup serta paku bertaburan di kawasan itu melalui panggilan NG MERS 999.

Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian dan maklumat awal saksi awam memaklumkan bahawa letupan itu berpunca dari sebuah kereta.

“Susulan itu pemeriksaan dilakukan ke atas rumah berhampiran lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan di satu daripada rumah tersebut menjumpai tiga objek disyaki sebagai IED,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Beliau menambah, pihak polis menemukan kenderaan disyaki menjadi punca letupan kira-kira 250m dari tempat kejadian, dan pemeriksaan menjumpai beberapa peralatan termasuk bahan disyaki menjadi punca letupan.

Alzafny berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.