Bekas warden bebas tuduhan bunuh penghuni pusat pemulihan

Bekas warden bebas tuduhan bunuh penghuni pusat pemulihan

Pihak pendakwaan gagal bukti kes prima facie terhadap Sidi Ahmad Amin Mamat, putus hakim Mahkamah Tinggi.

Gavel
Hakim Evawani Farisyta Mohammad lepas dan bebas Sidi Ahmad Amin Mamat daripada tuduhan bunuh seorang penghuni pusat pemulihan dadah dan akhlak di Changlun pada 2021. (Gambar Pexels)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi di Alor Setar melepas dan membebaskan bekas warden sebuah pusat pemulihan dadah dan akhlak swasta daripada tuduhan membunuh seorang penghuni pusat itu empat tahun lepas.

Hakim Evawani Farisyta Mohammad mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sidi Ahmad Amin Mamat, 50, lapor Bernama.

Tertuduh didakwa membunuh Umar Muhajir Ghazali di sebuah pusat pemulihan dadah dan akhlak di Sintok, Changlun, antara 11 pagi hingga 6.30 petang, 4 Nov 2021 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sekiranya sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati.

Dalam penghakimannya, Evawani Farisyta berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kecederaan dialami mangsa adalah akibat perbuatan tertuduh.

“Ia termasuk kemungkinan mangsa dipukul oleh individu lain di dua hingga tiga tempat berbeza serta penemuan dua kesan DNA individu tidak dikenali pada kain pelekat si mati,” katanya.

Beliau berkata, tertuduh didakwa memukul bahagian dada dan leher mangsa, sedangkan pakar patologi menyatakan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada aorta abdomen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Shah Reza Noor Azman manakala Sidi Ahmad Amin diwakili peguam Mohd Hezeri Harun dan Mohd Fadhly Yaacob.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.