Keluarga mangsa maut dihempap besi kren tidak akan saman pemaju

Keluarga mangsa maut dihempap besi kren tidak akan saman pemaju

Kedua-dua pihak sudah mencapai kata sepakat dan keluarganya juga amat berpuas hati serta berterima kasih kepada BUCG atas bantuan yang dihulurkan mereka.

Khoon-Ying
PETALING JAYA:
Keluarga mangsa pemandu kereta yang maut dihempap besi penyangkut kren di ibu negara, bulan lalu, tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Beijing Urban Construction Group (BUCG) (M) Sdn Bhd.

Abang mangsa, Chin Khoon Ying yang dipetik China Press berkata, kedua-dua pihak sudah mencapai kata sepakat dan keluarganya juga amat berpuas hati serta berterima kasih kepada BUCG atas bantuan yang dihulurkan mereka.

“Orang yang mati tidak boleh hidup semula, lagipun kematian adik sudah menjadi kenyataan. Oleh itu, selepas upacara pengebumian adik saya, kami merasakan adalah masanya untuk kedua-dua pihak duduk berbincang supaya perkara ini dapat diselesaikan,” katanya dalam satu sidang media hari ini yang ditemani ibu dan dua wakil peguam keluarganya.

Beliau berharap kematian adiknya akan menjadi peringatan dan amaran kepada pemaju lain supaya lebih berhati-hati bagi mengelakkan tragedi sama berulang.

Peguam keluarga itu berkata, demi melindungi keluarga mangsa dan faktor keselamatan lain, mereka tidak dapat mengumumkan bantuan yang diberikan BUCG, termasuk bayaran pampasan.

Dalam kejadian 7.20 malam 25 Ogos lalu, satu besi penyangkut dipercayai terjatuh daripada kren di sebuah tapak pembinaan, bersebelahan pusat beli-belah Pavilion dan menimpa kereta Perodua Kelisa yang dipandu Chin Khoon Sing.

Mangsa maut serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di tengkuk, dada dan rusuk kanan selepas dihempap serpihan besi kren seberat 1,000 kilogram yang jatuh dari tingkat 20 bangunan hotel yang sedang dalam pembinaan itu.

Pautan:

Firma terlibat besi kren jatuh tarik diri daripada projek terowong PP

Besi kren hempap kereta: Keputusan saman selepas kebumi mangsa

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.