Lebih 4 juta tan bauksit masih tersadai di Kuantan

Lebih 4 juta tan bauksit masih tersadai di Kuantan

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar lanjutkan moratorium dan beri amaran larangan perlombongan tidak akan ditarik sehingga semua baki bauksit dieksport.

Wan-Junaidi_talk
PUTRAJAYA:
Kerajaan melanjutkan tempoh moratorium terhadap aktiviti perlombongan bauksit – buat kali ketiga – sehingga 31 Disember supaya baki 4.13 juta tan bauksit dalam simpanan dikosongkan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang tampak berang beri amaran moratorium akan dilanjutkan lagi jika semua baki bauksit gagal dieskport menjelang hujung tahun ini.

“Saya mahu beritahu semua dan mahu semua orang dengar.

“Jika masih tidak dikeluarkan sehingga 31 Disember, saya mungkin akan minta lanjutan enam bulan pula (dari Jemaah Menteri),” katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

Wan Junaidi berkata kerajaan Pahang dan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob sudah dimaklumkan tentang lanjutan ini dan bersetuju dengan keputusan itu.

Beliau menjelaskan kerajaan sudah melakukan bahagian tanggungjawabnya dengan mengeluarkan 38 AP (permit) khas untuk mengeksport 3.76 juta tan bauksit daripada simpanan sedia ada sepanjang tempoh moratorium, tetapi hanya 1.27 juta tan dieskport.

“Saya tak pasti apa puncanya (tidak dapat dieksport).

“Ini salah pemain industri yang diberi AP. Mereka tak boleh salahkan kerajaan sekiranya perniagaan mereka terjejas.”

Tahun lalu, perlombongan bauksit yang berleluasa menimbulkan kemarahan orang ramai di Kuantan, mencetuskan rasa takut terhadap pencemaran kekal alam sekitar di Pahang.

Industri bauksit yang tidak terkawal meletus sejak dua tahun lalu bagi memenuhi permintaan tinggi dari China selepas Indonesia melarang eksport bauksit.

Wan Junaidi mengenakan moratorium mulai 15 Jan tahun ini, yang sepatutnya tamat 15 April. Bagaimanapun, ia dilanjutkan ke 15 Julai.

Pada hujung Julai, kerajaan sekali lagi mengumumkan moratorium dilanjutkan ke 15 Sept, kerana masih terdapat 5.4 juta tan bauksit masih berada di pelabuhan Kuantan.

Moratorium bertujuan menangani kebimbangan berkenaan pencemaran, kawalan longgar dan perlombongan melampau oleh pengendali.

Sepanjang larangan perlombongan itu, Putrajaya menguatkuasakan beberapa tatacara pengendalian piawai bagi mengurangkan pencemaran, termasuk jalan khas, kawasan simpanan bersepadu, dan hanya lori bertutup penuh dibenarkan untuk membawa bauksit ke pelabuhan Kuantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.